
Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Kementerian Wilayah
KUALA LUMPUR, 15 Apr (Malaysiaaktif) – “Dengan adanya dua ikon ini yang menjadi mercu tanda baharu ibu kota serta daya tarikan kepada para pelancong lantas mengangkat Kuala Lumpur setanding bandar raya bertaraf antarabangsa”.
Demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini berkenaan Count Down Clock dan Masjid Jamek yang mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.
Menerusi projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) fasa satu, kedua-dua mercu tanda baharu Kuala Lumpur itu bakal menjadi lokasi baharu tarikan pelancong serta warga kota.
Count Down Clock ini menarik dari segi reka bentuk moden dan keindahan landskap.
“Reka bentuk modennya pasti memberikan inspirasi kepada peminat seni binaan dengan pancuran air yang cantik selain paparan masa. Lokasi ini turut dihiasi tanaman landskap yang indah yang dilengkapi pelbagai kemudahan.
“Lokasi ini bakal menjadi kawasan rekreasi baharu untuk beristirahat bersama keluarga dan rakan-rakan. Malah, para pengunjung juga boleh melihat pengindahan sungai yang dibuat dengan lebih dekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, kawasan Masjid Jamek pula dinaik taraf dengan melibatkan pembinaan ruang solat tambahan berbumbung (6 “tensile umbrellas”) seluas 4,400 kaki persegi yang dapat menampung 1,000 jemaah terutama semasa solat Jumaat dan solat tarawih.
“Dengan penambahan ruang ini, pastinya memberi keselesaan kepada para jemaah yang bersolat di masjid ini yang menerapkan aspek pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan warisan yang amat istimewa dalam sejarah negara kerana lahirnya Kuala Lumpur yang bermula dengan pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.
“Pada masa akan datang, kolam air pancutan akan dibina bagi menambah keindahan di kawasan masjid ini,” ujar Ku Nan lagi.