Skip to main content
Berita TempatanHomeWilayah Persekutuan

Ekspresi Seni Murid Menerusi Pertandingan Seni Negaraku

By 19 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

PUTRAJAYA, 19 Apr (Malaysiaaktif) – “Seni merupakan komponen penting yang dapat melambangkan negara dan bangsa kita. Seni jika kita tonjolkan dapat dibawa ke persada dunia sekali gus sebagai satu medium untuk kita harumkan nama negara”.

Demikian kata, pelajar Sekolah Seri Puteri, Nur Adlina Athirah Mohd Azhar, 16, ketika ditemui semasa pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Malaysia sempena program ‘Pertandingan Seni Negaraku’ di pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pelajar Sekolah Seri Puteri, Nur Adlina Athirah Mohd Azhar

Murid Sekolah Seri Puteri, Nur Adlina Athirah Mohd Azhar

 

Adlina turut menyebut pertandingan tersebut bukan sahaja dapat memupuk minat para pelajar untuk mendalami bidang seni malah dapat mengetengahkan keunikan budaya masyarakat Malaysia.

“Kalau sebelum ini ada pelajar ambil remeh tentang seni itu sendiri, menerusi program ini saya yakin akan dapat membawa lonjakan paradigma dalam diri murid sebab kadangkala kita tak sedar minat kita dalam bidang apa selain dapat mencerahkan matlamat kita dalam bidang seni negara.

Antara pelajar yang hadir

Antara murid yang hadir

 

“Secara peribadi setelah 59 tahun Malaysia merdeka, kita pula semakin dekat untuk mencapai Transformasi Nasional 2050, sebenarnya saya nak sangat melihat Malaysia terkenal di persada dunia bukan sahaja dari aspek sukan dan ekonomi tetapi kebudayaan.

“Ada banyak negara yang budaya bangsa yang sering diketengahkan di dunia, tetapi Malaysia masih kurang lagi. Jadi saya nak orang di seluruh dunia bangga dengan budaya kita,” ujarnya.

Mahdzir ketika ditemui media

Mahdzir ketika ditemui media

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu lebih 10,000 sekolah akan terlibat dalam program tersebut.

“Komitmen antara dua kementerian ini bertujuan untuk memberi dan membangkitkan semangat Negaraku dalam kalangan pelajar. Sebanyak 7772 buah prasekolah, sekolah rendah dan 2404 buah sekolah menengah akan terlibat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa, berkata pemenang bagi pertandingan ini berpeluang untuk memaparkan lukisan mereka di Balai Lukis Negara.

MOU antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Malaysia sempena program 'Pertandingan Seni Negaraku'.

MOU antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Kementerian Pelancongan Malaysia sempena program ‘Pertandingan Seni Negaraku’.

“Pertandingan yang akan bermula pada 1 Mei sehingga Ogos 2017 akan dipertandingkan bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Sebanyak RM100,000 diperuntukkan secara keseluruhannya di samping lukisan pemenang peringkat kebangsaan akan dipamerkan di Balai Seni Negara ketika sambutan kemerdekaan nanti,” ujarnya yang menjelaskan program tersebut bertujuan sebagai penyemaian, pemupukan dan penyuburan kecintaan kepada negara.

Pelajar SMK Putrajaya Presint 16 (1), Hafeza Afreen Mirza Mohammad Taiyab

Murid SMK Putrajaya Presint 16 (1), Hafeza Afreen Mirza Mohammad Taiyab

Bagi pelajar SMK Putrajaya Presint 16 (1), Hafeza Afreen Mirza Mohammad Taiyab, 16, pertandingan ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mengekspresikan keunikan Malaysia dalam bentuk visual.

“Malaysia ada banyak jenis budaya dan unik tidak seperti negara lain yang mungkin hanya ada satu bangsa. Makanan kita pun banyak pilihan seperti makanan India, Cina, Melayu, ditambah pula dengan etnik di Sabah dan Sarawak.

“Jadi saya rasa pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar lebih banyak untuk tonjolkan diri dalam bidang seni dengan mengekspresikan keunikan bangsa Malaysia,” ujarnya.

MOU yang ditandatangani menandakan usahasama ulung bagi inisiatif ‘Negaraku’ dalam menyemai semangat cinta akan negara melalui ekspresi seni visual dan penghargaan terhadap bakat seni dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

-SF

Tinggalkan komen anda