Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

“Tetebih” Sarapan, Minum Petang Tradisi Masyarakat Melanau

By 28 April 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / foto oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 28 Apr (Malaysiaaktif) – “Tetebih” yang merupakan menu tradisi kaum Melanau sejak dahulu lagi kini jarang dimakan pada hari biasa oleh sebab terdapat bermacam-macam makanan pilihan seperti roti atau kek.

Tetebih diperbuat daripada  kelapa, tepung sagu (lemantak), sebagai bahan utama dan juga boleh dicampur dengan bubuk, udang kering atau ikan sebagai penambah rasa.

Sejak Mukah Kitchen dibuka, gerai Noraida Sahari, 27, mula menjadi tumpuan ramai untuk tempahan tetebih dan bubur leluai. Menurut Noraida, tetebih menjadi pilihan pengunjung yang ingin menikmati  pagi mahupun minum petang.

“Tetebih ialah menu sihat kerana tidak menggunakan minyak, cukup sekadar dimasak di dalam kuali kecil dan dimasak dengan api yang sederhana. Menu ini amat popular pada zaman dahulu dalam kalangan petani dan nelayan masyarakat Melanau sebelum keluar bekerja pada awal pagi.

Sejak tiga hari Mukah Kitchen dibuka, Noraida gembira kerana generasi muda turut sama berminat untuk mencuba tetebih yang dijualnya.

Noraida ketika melayan pengunjung yang dtaang ke gerainya.

Noraida ketika melayan pengunjung yang dtaang ke gerainya.

“Setiap kali Mukah Kitchen dianjurkan, saya tidak pernah ketinggalan ikut serta dalam mempromosikan makanan Melanau tetebih ini. Sekeping tetebih dijual dengan harga RM2 hingga RM2.50 yang terdiri daripada tetebih biasa, tetebih perisa udang kering dan tetebih perisa bubuk kering.

“Sambutan sangat menggalakkan kerana tetebih kini jarang didapati dan dimasak pada hari biasa. Generasi baharu pula tidak pernah makan makanan seperti ini,” jelasnya yang mengeluarkan modal sebanyak RM400.

Sementara itu, menurut Pegawai Tadbir, Pejabat Residen Bahagian Mukah, selaku Setiausaha Mukah Kitchen, Nolin Gendang kerajaan sentiasa membantu dalam menyediakan prasarana kepada pengusaha produk tempatan seperti Noraida.

“Kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera ada menyediakan prasarana untuk usahawan menjual produk tempatan seperti tetebih. Bantuan kewangan biasanya dibiayai oleh agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dan Agrobank.

“Saya memang menggalakkan agar Noraida turut serta dalam Mukah Kitchen atau pesta yang lain agar masyarakat Melanau yang lain dapat merasai Tetebih sambil dapat mempromosikan kepada generasi muda serta pengunjung luar kerana inilah makanan  unik  yang ada di Bahagian Mukah,” ujarnya yang ditemui semalam.

Sementara itu, pengunjung Aho Lamat,78 berharap agar tetebih ini akan terus kekal sebagi makanan tradisi Melanau.

“Saya dahulu memang selalu masak tetebih sebagai makanan harian kami untuk sarapan pagi dan minum petang kerana membuat tetebih paling senang. Asal ada tepung sagu (Lemantak) dan kelapa serta sedikit perasa sudah tentu siap dan cepat untuk dihidang.

“Saya berharap agar generasi sekarang mengetahui dan merasa apa-apa sahaja makanan tradisi Melanau agar tidak ditelan zaman,” jelasnya lagi.

Mukah Kitchen berlangsung di Tapak Pesta Kaul bermula 24 hingga 30 April 2017.

-SF

Tinggalkan komen anda