Bagi Kucing ‘Panadol’ Contoh Aniaya Bawah Undang-Undang

e8a2147b-87be-48e0-9810-bd10b7521349

 

Laporan / Foto Oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

ALOR SETAR, 15 Mei (Malaysiaaktif) — Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah terkenal dalam kalangan masyarakat di Alor Setar. Ini kerana di sini terletaknya lokasi pendaratan hasil laut segar oleh nelayan, selain menawarkan bekalan terus kepada pembeli setiap pagi.

Kampung ini juga terkenal kerana terletak berhampiran dengan Kota Kuala Kedah yang dibina pada 1771 bagi mempertahankan Kedah daripada serangan musuh luar. Di sini juga terbina Marina Kuala Kedah yang tersergam indah.

Di sebalik kekayaan sejarah dan ekonomi laut bagi sesiapa yang berkunjung ke sini, terutama bagi pencinta haiwan, mungkin hati terkesan apabila melihat haiwan domestik dan ternakan berkeliaran.

ab8f77c1-712b-49b9-bca3-44971b853a10

Kucing gelandangan dan anjing mungkin kehadiran biasa bagi penduduk di sini, namun demikian bagi pengunjung dari luar keadaan haiwan sebegini amat memilukan.

Baru-baru ini wartawan Malaysiaaktif terserempak dengan keadaan beberapa ekor kuda yang ditambat di tengah panas terik, terutama di hadapan Masjid Kampung Seberang Kota.

Pada waktu itu keadaan cuaca amat panas dan keadaan kuda kurus hingga menampakkan tulang dan kulit setelah dibiarkan tertambat sedemikian rupa.

e57a1a19-2f57-4471-ac1a-1517569b703d

Malaysiaaktif mendapatkan cerita sebenar di sebalik keadaan itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang juga Setiausaha Masjid Seberang Kota, Haji Ahmad Shafie, 68, terdapat tiga ekor kuda dibela oleh dua orang pemilik. Ada yang dibela untuk tujuan membawa pelancong bersiar-siar dengan kereta kuda dan ada juga yang dibela tanpa ditunggang atau menarik kereta kuda.

Menurut beliau kuda-kuda ini biasanya ditambat di tengah panas setiap hari di depan Masjid Kampung Seberang Kota.

Beliau berkata apabila tenaga mereka tidak lagi diperlukan, kuda-kuda ini dibiarkan berkeliaran hingga mencemarkan kawasan dengan najis.

304cd8e2-c045-4e72-aabb-ee130bc41137

Seorang pemilik kuda yang ditemui Malaysiaaktif berkata usaha membela kuda memerlukan perbelanjaan tinggi. Oleh itu, memandangkan kos makanan yang dirasakan agak tinggi, pemilik hanya memberikan haiwan tersebut rumput sebagai makanan dengan sedikit campuran makanan kuda.

Si pemilik berkata dahulunya dia membela dua ekor kuda, seekor kuda padi dan seekor bekas kuda lumba.

Menurutnya kuda lumba miliknya amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi. Haiwan tersebut, bagaimanapun, mati setelah mendapat kecederaan selepas diserang kuda padi hingga tidak lagi dapat bangun.

Justeru, dia mengambil keputusan untuk menyembelih kuda itu dan dagingnya dimasak untuk dijamu seluruh penduduk Kampung Seberang Kota.

898c06f2-a52f-4e97-ba1e-5c290387f465

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Zoonosis dan Kesihatan Awam, Jabatan Veterinar Malaysia, Dr. Marzuna Md. Yunus

Malaysiaaktif merujuk kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Zoonosis dan Kesihatan Awam, Jabatan Veterinar Malaysia (JVM), Dr. Marzuna Md Yunus berhubung perkara ini.

Dr. Marzuna berkata kerajaan kini sedang berusaha meminda Seksyen 29, Akta Kebajikan Haiwan 2015 bagi menaikkan kadar denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun ke atas sesiapa yang didapati bersalah menganiaya haiwan.

Buat masa ini beliau berkata akta berkenaan sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan.

Menurutnya, haiwan seperti kuda di Kampung Seberang Kota yang dibiarkan di tengah panas tanpa minuman atau dibiarkan memakan benda-benda yang berbahaya, seperti plastik di tempat pembuangan sampah boleh dianggap sebagai pengabaian haiwan. Ia diletakkan di bawah Seksyen 24 Kebajikan Haiwan, iaitu keperluan haiwan tidak dipenuhi.

Beliau berkata sekiranya keadaan itu berlarutan ia menurus kepada kesalahan penganiayaan haiwan.

abe25ded-5251-480e-bcdf-71792e2f4dab

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Veterinar Malaysia, Zaharinan b Abd Aziz

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Veterinar Malaysia, Zaharinan Abd Aziz, berkata, di bawah Akta Binatang 1953 pindaan 2013, jika didapati berlaku penganiayaan haiwan, penalti sebanyak RM50,000 boleh dikenakan atau setahun penjara, atau kedua-duanya.

Akta asal sebelum 2013 hanya melibatkan denda maksimum RM200.

Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 pula penaltinya jauh lebih tinggi, tetapi belum dikuatkuasakan.

51b5e12a-4ef7-4a19-a22a-caeea671414a

Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Malaysia, Dr. Fadzilah A’ini A. Kadir

Bagaimana pun, Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Malaysia, Dr. Fadzilah A’ini A. Kadir berkata, terdapat dua perbezaan yang nyata di antara menzalimi atau penderaan haiwan dengan cara pengabaian.

Fadzilah berkata bukanlah satu perkara yang luar biasa jika kuda ditambat di tengah panas kerana itu memang keperluan kepada kuda.

Makan sampah juga menurutnya tiada masalah kerana ada makanan yang elok kepada haiwan di tempat pembuangan sampah.

Menurutnya, kita selalu terkeliru dengan penganiayaan haiwan kerana kita menyamakan haiwan dengan manusia, selain menyamakan satu jenis haiwan dengan haiwan yang lain.

Sebagai contoh, memberi kucing memakan ikan mentah atau ‘Panadol’ boleh diletakkan sebagai penganiayaan haiwan kerana ikan mentah dan Panadol boleh merosakkan otak dan hati kucing.

cd9bed67-62db-4cd2-9477-80b206c82c05

Kucing gelandangan di sebuah pasar di Kuala Kedah.

Tambahnya lagi, kita juga selalu terkeliru dengan apa yang kita lihat dengan fitrah haiwan.

Fadzilah memberi contoh, kaedah membunuh haiwan secara PTS (Put To Sleep) nampak seperti tidak menyeksa haiwan tetapi sebenarnya ia sangat menyakitkan.

Selain itu, membunuh ikan keli dengan memasukkannya ke dalam air garam juga menyakitkan dan adalah lebih ihsan membunuhnya dengan memasukkan dalam ais.

Katanya lagi, cara mematikan paling baik ialah melalui penyembelihan. Ini kerana haiwan tidak sakit jika darah keluar dengan laju. Kaedah ini berbeza daripada menggunakan elektrik (stun) kerana renjatan elektrik sangat menyakitkan.

Menurut Fadzilah, bagi haiwan yang digunakan untuk tujuan kajian, contohnya kuda yang disuntik dengan bisa ular untuk mendapatkan anti-venom, ia bukan satu masalah kerana darah kuda berguna sebagai anti toksik kepada manusia.

Dalam pada itu, kuda tersebut juga tidak mati kerana bisa ular walaupun diambil sebanyak satu gelen darahnya dengan cara menebuk di bahagian leher.

Bila ditanya bagaimana untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu tergolong dalam kategori penderaan haiwan, Fazilah berkata langkah pertama memerlukan doktor veterinar mengesahkan ia ditakrifkan sebagai penderaan.

Kemudian pihak penguat kuasa veterinar akan mengambil tindakan jika benar ia satu penderaan.

Jika terdapat haiwan didera dalam sesebuah rumah, JVM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memecah masuk ke dalam rumah tersebut.

Beliau berkata bawah Seksyen 24 turut merangkumi aspek keselesaan haiwan, termasuk kebarangkalian fisiologinya terganggu.

Contohnya, ayam yang sepatutnya bertenggek apabila bertelur, tetapi sebaliknya dipelihara tanpa memberikan ruang untuk berbuat demikian boleh dianggap sebagai kesalahan.

Fazilah berkata di negara-negara yang lebih prihatin terhadap haiwan, telur ayam yang diperoleh dari ladang ternakan yang tidak menepati keselesaan semula jadi haiwan tersebut tidak akan diterima untuk dipasarkan.

 

-MRR/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *