Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Tiada Pembalakan Di Kawasan Tadahan Ulu Muda–Jabatan Hutan

By 25 Mei 2017Tiada komen5 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

 
SIK, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Terletak di Hutan Simpan Ulu Muda, Empangan Ulu Muda mula beroperasi sejak 1969 merupakan kawasan tadahan air yang penting di utara tanah air terutama Kedah dan Pulau Pinang di samping berfungsi sebagai pembekal air kepada Empangan Pedu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Belantik, Muhammad Mat Daud, 54, punca pendapatan utama penduduk ialah menjadi nelayan darat (nelayan ikan air tawar) yang bergantung hidup di Empangan dan Sungai Ulu Muda.

20170426_104142
“Penduduk di sini tidak menentang sebarang aktiviti pembalakan, cuma mengharapkan perbuatan tersebut tidak merosakkan alam sekitar dan ekosistem.
“Jika pembalakan terlalu rapat dengan punca air turun ke kawasan tadahan air, ikan akan semakin pupus. Ini kerana pembalakan menyebabkan hakisan dan selut masuk ke empangan dan sungai serta anak-anak sungai yang menjadi tempat pembiakan ikan.
“Contoh cabang ibu iaitu Kuala Sungai Muda (pertemuan Sungai Muda dengan Empangan Ulu Muda) telah dipenuhi pasir sehingga merosakkan lubuk-lubuk dan tempat pembiakan ikan.
“Oleh sebab cabang ibu sudah rosak, penduduk kini hanya berharap kepada cabang kecil (Kuala Teliang) yang menjadi sumber pembiakan ikan kepada empangan ini.
Tambahnya, sikit atau banyak pembalakan di sini boleh dilihat sendiri daripada air yang semakin keruh dan lubuk yang hampir pupus dipenuhi selut dan pasir. Jika aktiviti pembalakan dilakukan juga di kawasan Charok (anak sungai) Labua, habislah pendapatan orang kampung kerana pastinya akan merosakkan cabang sungai kecil.
“Jeram Ebor, yang terletak bertentangan dengan Charok Sira Jawa, sekarang air situ telah menjadi keruh dan turun ke empangan. Ikan-ikan asal sudah hampir tiada seperti kelah, sebarau dan tengas.
“Pembalakan bukan punca utama kepupusan ikan sebaliknya aktiviti menangkap ikan menggunakan kejutan elektrik, tuba, dan mengebom ikan oleh penduduk, yang telah membunuh bersama benih-benih ikan. Namun, aktiviti pembalakan jika tidak dikawal akan tetap memberi kesan kepada pembiakan ikan,” ujarnya yang ditemui pada Jumaat.
Sementara itu, menurut Pegawai Hutan Daerah Kedah Tengah, Khairul Nizam Mohamad, Hutan Simpan Ulu Muda terletak antara dua daerah pentadbiran hutan iaitu Daerah Kedah Tengah dan Daerah Kedah Selatan.
“Hutan Simpan Ulu Muda ini telah diwartakan kepada dua bahagian iaitu hutan tadahan (hutan perlindungan) dan hutan pengeluaran.
“Selari dengan Akta Perhutanan Negara Seksyen 10(1) di bawah Pengkelasan Hutan, Jabatan Hutan Kedah mengenal pasti kira-kira 110 ribu hektar sebagai hutan perlindungan atau hutan tadahan iaitu 30 ribu hektar sebagai hutan tadahan air termasuk hutan simpan di Ulu Muda.
“Hutan pengeluaran ialah hutan yang boleh dibalak dan hutan perlindungan pula tidak boleh dibalak, contohnya hutan simpan hutan dara, hutan tadahan air, hutan lipur, dan hutan taman negeri.
Tambah Khairul, kelulusan kelulusan membalak di Hutan Ulu Muda hanya diberi dalam kawasan hutan pengeluaran.
“Pihak Jabatan Hutan telah membuat pengelasan kawasan hutan-hutan yang boleh dibalak dan tidak merosakkan alam sekitar atau mencemarkan kawaaan tadahan air serta sumber pembiakan ikan.
“Tiada aktiviti pembalakan sebenarnya di kawasan hutan perlindungan, cuma baru-baru ini aktiviti mengambil pasir telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di Sungai Ulu Muda.
“Untuk sampai ke Sungai Ulu Muda kenderaan terpaksa melalui hutan simpan Ulu Muda. Pokok-pokok terpaksa ditebang hanya bagi tujuan membuat laluan kepada kenderaan yang mengambil pasir ini. Tiada sebarang kelulusan untuk aktiviti pembalakan di situ dan hanya kelulusan mengambil pasir.
Katanya lagi, untuk pembalakan di hutan pengeluaran sekalipun dilakukan berdasarkan kaedah SMS atau “Selective Management System” iaitu berdasarkan had batas ukur lilit pokok.
“Hutan Ulu Muda ialah hutan dara yang sebelum ini tidak pernah dibalak. Bagi pembalakan di hutan pengeluaran dara telah ditetapkan saiz pokok yang boleh ditebang tidak boleh kurang 65 sentimeter (cm) bagi kaum ditrokap (kaum damar seperti meranti, iaitu kayu berkelas tinggi) 55cm untuk kaum bukan ditrokap (kayu kurang berharga seperti pokok putat). Untuk kayu cengal pula had batasnya ialah 70cm.
“Pihak Jabatan Hutan juga mengamalkan konsep mewartakan kawasan zon penampan (buffer zone) iaitu tiada aktiviti pembalakan 10 meter dari tebing sungai. Pokok yang boleh ditebang hanyalah yang telah ditanda dan ditentukan oleh pihak Jabatan Perhutanan.

“Seterusnya antara dua hingga lima tahun selepas tebangan, pihaknya akan membuat bancian sama ada perlu dibuat penanaman semula pokok-pokok berharga seperti meranti, cengal dan sebagainya atau tidak.
“Tanaman semula juga dibuat di semua lorong penarik dengan matau sementara iaitu tempat laluan kenderaan dan mengumpul balak sementara,” jelasnya.
Nizam turut menjelaskan bagi memastikan tiada sebarang pembalakan haram di Hutan Ulu Muda ini, pihak Jabatan Hutan dalam proses untuk membina pintu pagar kawalan berkunci bagi memudahkan membuat kawalan penguatkuasaan.
“Jabatan hutan juga sentiasa mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Jabatan Perikanan di Empangan Ulu Muda terutamanya pada musim perayaan kerana banyak kes pencerobohan berlaku pada musim perayaan.
“Untuk setiap kelulusan pembalakan di hutan pengeluaran misalnya kepada Perbadanan Menteri Besar, Jabatan Hutan akan meletakkan dua orang pengawal hutan bersama pekerjanya yang akan membuat laporan pemantauan secara bulanan.
“Jabatan hutan juga membuat SIA iaitu “Social Impact Assessment” sebelum, semasa dan selepas pembalakan. SIA ini dibuat melalui temu bual penduduk dan ketua-ketua masyarakat untuk mengetahui kesan pembalakan kepada mereka.
Tambahnya, di Hutan Ulu Muda ini juga terdapat kawasan-kawasan pelancongan, antaranya terdapat satu chalet iaitu di Labua sejak 2008 yang dikendalikan oleh Majlis Daerah Sik.
“Terdapat juga sira gajah iaitu kawasan air panas tempat gajah berkubang dan makan. Sebuah bekas terowong komunis tetapi berada dalam daerah Kedah Selatan juga ada di sini.
“Semua tempat ini boleh dilawati melalui jalan air dengan menyewa bot-bot orang tempatan tetapi pengunjung terlebih dahulu perlu memohon permit untuk masuk ke hutan simpan,” jelasnya.
Dalam pada itu, anak jati Ulu Muda, Mat Jamil Mat Noh, 49, berkata, menurut bapanya yang juga pekerja pembinaan empangan ini sekitar 1966 hingga 1968, empangan ini dahulunya ialah sebuah perkampungan yang lengkap dengan masjid dan lain-lain sebelum ditenggelamkan.
“Empangan ini ialah punca pendapatan utama aktiviti masyarakat di sini iaitu dengan menangkap ikan. Ikan asal di empangan ini ialah tengas, kelah, sebarau dan baung, tetapi yang banyak kini ialah ikan talapia.
“Empangan Ulu Muda ini mendapat sumber air dari dua sungai iaitu Sungai Muda dan Sungai Kecil dari Lubuk Andoh yang merupakan tempat pembiakan utama ikan di Empangan Ulu Muda.
“Masalah utama sebelum ini ialah penangkapan ikan yang tiada kawalan dan kecurian kayu geharu oleh rakyat asing. Dengan terbinanya Kem Tentera di Lubuk Andoh, keadaan ini telah terkawal sepenuhnya.
“Selain itu, Jabatan Perikanan juga melepaskan anak-anak benih ikan di Lubuk andoh secara berkala. Berbeza dengan peraih ikan air tawar di sini,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen anda