Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Tarian “Seayun Selangkah” Memukau Lebih 6000 Penonton

By 19 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Cassidy Lisut (Sarawak)

MUKAH, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Dataran Pehin Setia Raja Mukah dibanjiri hampir 6,000 orang pengunjung bersempena Pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa Peringkat Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di Dataran Pehin Setia Raja Mukah, di sini hari ini.

Antara acara yang menarik perhatian para pengunjung adalah Tarian “Seayun Selangkah” yang dipersembahkan oleh Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Sri Ritma Borneo, Mukah.

Penari berpakaian tradisional menjadi tarikan persembahan

Penari berpakaian tradisional menjadi tarikan persembahan

Tarian ini dipersembahkan oleh 132 orang peserta terdiri daripada kolaborasi penuntut sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, SMK St. Patrick, SMK Three Rivers, Sekolah Kebangsaan Ulu Bayan, kaum ibu dan belia Mukah.

Menurut pengurusnya, Tahirih Jasmin Smith, 46, pertubuhan ini ditubuhkan sejak 2008 dan terlibat aktif dalam setiap kegiatan kebudayaan di sekitar Mukah.

“Objektif kumpulan ini adalah untuk mengekalkan muzik tradisional Melanau dan menggalakkan penglibatan generasi muda sekitar Mukah serta mempertabatkan budaya suku kaum Melanau agar ia tidak ditelan zaman.

“Tarian “Seayun Selangkah” ini telah dicipta dan dilatih oleh Abdul Rahman Mustapha. Mereka telah berusaha keras bagi memastikan kejayaan persembahan ini sejak awal Ogos lagi,” katanya.

Menurut Salsiah Basmi, 25, dari Kampung Bakong Oya, persembahan tarian yang diiringi alat muzik seperti canang, geguling tangan, dan rebana ini menggabungkan gerak tari moden dan lama yang begitu memukau sekali.

“Persembahan ini sangat unik kerana gerak tarinya yang cukup mempersonakan diiringi oleh alunan muzik Melanau yang amat mengasyikkan dan jarang didengari,” ujarnya.

Agnes Budin, 26, pula menyatakan “Saya amat kagum melihat tarian ini kerana disebalik gerak tarinya menggambarkan bahawa keharmonian rakyat yang bersatu hati melangkah bersama-sama demi menjaga maruah dan martabat bangsa” katanya.

Menurut Kapitan Kang Bong Eong, Program Negaraku Sehati Sejiwa ini sangat bagus dalam menyatukan kepelbagaian kaum di sini.

“Negaraku Malaysia adalah sebagai tanda cinta, kesetiaan dan semangat patriotism terhadap negara dan fahaman politik, pegangan agama bukanlah penghalang untuk mempunyai semangat patriotism kepada negara.

“Negara ini adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,” jelasnya lagi.

–SH

Tinggalkan komen anda