Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

Jeti Merang Ceria Dengan Jalur Gemilang

By 29 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd. Subhi Abang & Nik Awang Yaacob

SETIU, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Pengagihan serta pengibaran bendera jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini bukan sahaja tertumpu di jabatan kerajaan, rumah kediaman dan sekolah-sekolah.

Malah ia turut disemarakkan di kawasan pinggir sungai apabila Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu mengagihkan kira-kira 500 helai bendera itu kepada 48 pengusaha bot pelancong serta orang ramai di Jeti Pelancongan Merang, di sini, pagi tadi.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Setiu (PDS) dan Komuniti 1 Malaysia (K1M) Mukim Merang yang turut mengagihkan jalur berkenaan kepada para pelancong asing serta tempatan yang berada di jeti tersebut sebelum mereka berlepas ke Pulau Redang.

Samsudin (tengah) memasang jalur gemilang pada bot pelancong.

Samsudin (tengah) memasang jalur gemilang pada bot pelancong.

Pengagihan bendera seumpama itu yang julung kali diadakan dalam Program Menggelorakan Semangat Kemerdekaan Merdeka@Komuniti 1Malaysia itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah JaPen Terengganu, Samsudin Daud yang mewakili Pengarah Penerangan Negeri.

Samsudin berkata walupun program yang dijalankan pagi ini ringkas dan santai tetapi ia amat bermakna bagi ahli K1M terbabit kerana dapat mendampingi orang ramai dalam suasana Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.

Beliau berkata pihaknya memberi jalur gemilang kepada orang ramai yang berada di jeti tersebut bagi merancakkan serta memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Menurutnya, sebelum ini pihaknya biasa mengadakan kempen kibar jalur gemilang yang sepatutnya ia menjadi kebanggaan rakyat di negara ini seperti di sekolah-sekolah atau jabatan kerajaan dan lokasi tertentu yang strategik.

“Namun kita percaya dengan program ini ia secara tidak langsung dapat menyemarakkan serta memberi kesedaran terhadap semua masyarakat pelbagai kaum.

“Tetapi ia juga turut dikagumi oleh pelancong asing yang kebetulan hadir berurusan di situ melihat persiapan kita begitu lancar dan meriah bagi menyambut Bulan Kebangsaan sehingga kita sanggup memasang bendera itu di 48 buah bot pelancong di kawasan Merang,” katanya ketika ditemui di sini.

-SH

Tinggalkan komen anda