Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Lambaian, Sorakan Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa Gelorakan Semangat Patriotik

By 31 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Norlydiana Ishak & Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa merupakan tulang belakang dan nadi kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-60.

Sorakan dan lambaian mereka menyemarakkan lagi suasana bersejarah pada hari ini. Aktivis ini juga terlibat dalam mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai yang berada di sekitar Dataran Merdeka.

Menurut Aktivis Negaraku, Izzati, dia berharap semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia akan terus kekal utuh.

“Ini adalah satu penghormatan bagi saya apabila diberi peluang untuk menyaksikan detik yang bersejarah hari ini, 60 tahun telah berlalu,” kata Izzati.

Seorang lagi aktivis, Zulaikha, 17, berkata setiap tahun dia dan rakan-rakan tidak pernah ketinggalan meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Medeka, namun tahun ini membawa kenangan yang paling berharga apabila menjadi sebahagian daripada Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa yang memeriahkan hari yang bersejarah ini.

“Saya merasa sangat bangga dengan negara kita apabila saya turut sama membalas teriakan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak tujuh kali menyebut Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” katanya selepas menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi pelajar Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Nor Anis, 16, dia kini dapat merasai dan menghayati erti pengorbanan prajurit tanah air yang berkorban nyawa demi tanah air tercinta

“Selama ini saya hanya bersorak dan melambai di depan televisyen sahaja. Tahun ini saya merasa teruja kerana berada bersama ribuan rakyat Malaysia menyemarakkan lagi suasana Sambutan Hari Kebangsaan 2017,” katanya.

Antara aktivis-aktivis Negaraku SehatiSejiwa yang terlibat sebagai pasukan sorak di Dataran Merdeka.

Antara aktivis-aktivis Negaraku SehatiSejiwa yang terlibat sebagai pasukan sorak di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, pelajar Institut Profesional Baitulmal yang turut mengambil bahagian sebagai aktivis, Aisyah, berkata dia telah telah menanam impian untuk menjadi sebahagian daripada sukarelawan yang akan menjadi penaik semangat setiap pengunjung yang hadir ke Dataran Merdeka sejak kecil lagi.

“Saya amat beharap sorakan dan teriakan semangat kami Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa dapat ‘meremangkan bulu roma’ setiap yang hadir,” ujar Aisyah.

Penglibatan Aktivis Negaraku Sehati Sejiwa secara tidak langsung dapat menerapkan dan menggelorakan semangat patriotik serta bersatu padu disamping mengukuhkan semangat membina dan berbakti kepada negara menerusi aktiviti-aktiviti sukarelawan.

– AH

Tinggalkan komen anda