
Laporan dan foto oleh: Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Nostalgia detik pertempuran menentang ancaman komunis dihidupkan semula di hadapan ribuan rakyat pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Seramai 108 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya membawa secara langsung suasana sewaktu pejuang-pejuang Tanah Melayu berjuang sehingga ke titik darah terakhir menentang ancaman komunis dalam mempertahankan rakyat dan tanah air.
Anggota-anggota PDRM ini melakonkan semula pertempuran Ops Tapah F-team dalam melumpuhkan anggota gerakan bawah tanah pengganas komunis tanpa perasaan gentar dengan bahaya yang dihadapi.
Salah seorang pengunjung yang ditemui, Nur Syafiqa, 17, berkata dia berasa berbangga dan berterima kasih kepada semua anggota keselamatan, tentera mahupun polis yang sanggup berkorban demi keselamatan rakyat
“Saya juga bersyukur dengan kebebasan dan keharmonian kita nikmati dan sebagai rakyat Malaysia kita harus mempertahankannya,” kata Syafiqa.
Dalam pada itu, persembahan daipada lebih 1,000 pelajar sekolah turut berjaya membawa kembali suasana kehidupan rakyat Tanah Malaya tahun 1957 sewaktu penjajahan dan perjuangan menuntut kemerdekaan.
– AH