Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Anggota Keselamatan Dominasi Dataran Merdeka

By 31 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Perarakan raksasa dan persembahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang cukup bertenaga telah menarik perhatian ribuan hadirin di Dataran Merdeka serta jutaan penonton melalui siaran secara langsung.

Seramai 1,000 anggota tentera telah menyempurnakan Persembahan Kawat Formasi ATM di hadapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan utama di Dataran Merdeka, hari ini.

Gabungan suara yang mantap dan bersemangat daripada pelbagai anggota badan beruniform menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Lontaran suara mereka mengalunkan lagu-lagu patriotik turut memukau setiap pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka.

WhatsApp Image 2017-08-31 at 4.51.17 PM

Dataran yang mengembalikan detik sejarah tanah air ini juga menjadi pentas kepada persembahan Gerak Semangat oleh putera Maktab Tentera DiRaja (MTD).

Persembahan yang julung kali diadakan khususnya sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 ini turut menarik minat anak-anak muda yang hadir untuk menyertai angkatan tersebut.

Menurut pengunjung, Mohd Nazrin Shah, 15, dia berasa amat teruja kerana berpeluang menyaksikan sendiri persembahan angkatan tentera negara yang sangat menarik dan bertenaga.

“Persembahan MTD sangat menarik dan saya agak berminat menyertai MTD untuk menabur bakti kepada negara,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2017-08-31 at 4.45.56 PM (1)

Salah seorang putera MTD yang menyertai persembahan, Ahmad Irfan Idhzar, 16, berkata Persembahan Gerak Semangat ini adalah inspirasi daripada ‘wardance’ ATM.

“MTD telah membuat sedikit perubahan dalam lirik lagunya khas sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ini.

“Sambutan kemerdekaan kali ini sangat menarik dan kalau boleh kami, putera MTD ingin menyertai lagi sambutan hari kemerdekaan pada tahun depan,” kata Irfan.

Sementara itu, bagi acara perbarisan dan perarakan pula seramai 3,300 kontinjen ATM yang terdiri daripada anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu darat, laut dan udara tampil dengan memakai pakaian seragam mengikut era bersama 117 aset darat ATM termasuk kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4×4 yang dikenali sebagai ‘Lipan Bara’.

WhatsApp Image 2017-08-31 at 4.55.30 PM

Suasana Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-60 ini turut digamatkan dengan aksi pertunjukan akrobatik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan sebanyak 67 buah aset TUDM mengambil tempat di ruang udara Dataran Merdeka, hari ini.

Menurut pengunjung, Mohamad Faizal Zainon, 28, persembahan itu bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda sepertinya untuk mengenali aset ATM dengan lebih dekat, malah dapat menarik minat anak muda bagi menyertai ATM.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung dalam penuh semangat patriotik dengan penyertaan lebih 18,000 peserta terdiri daripada anggota pelbagai jabatan, agensi kerajaan, swasta dan pelajar sekolah.

– AH

Tinggalkan komen anda