Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

MARA Digital Tetap Menguntungkan Peniaga

By 27 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Sharifah Hazwani Syed Mahusin & Jaitripta Kaur (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Konsep jualan barangan asli yang diamalkan di MARA Digital Kuala Lumpur tetap memberikan keuntungan kepada peniaga sebanyak 13 hingga 15 peratus daripada harga jualan.

Para peniaga juga tidak terkongkong dengan pembekal yang sama, malah berpeluang mencari pembekal masing-masing dengan syarat perlu mendapat kelulusan daripada WGN Scan Sdn Bhd iaitu syarikat yang bertanggungjawab untuk memantau dan menyelaras semua produk yang dijual di sini sejak 2015 lagi.

Menurut salah seorang peniaga, Muhammad Arifin Mohd Nasir, 22, pelanggan perlu peka dengan harga yang diletakkan pada barangan yang dijual

“Di tempat lain ada peniaga yang memanipulasi harga dengan tidak memasukkan Cukai Perkhidmatan Kerajaan (GST) dan ini menyebabkan barangan yang mereka jual kelihatan jauh lebih murah daripada kami. Selain dari itu, mereka juga mungkin menjual barangan tiruan pada harga barangan asli,” katanya.

Peniaga di MARA Digital Kuala Lumpur, Muhammad Arifin Mohd Nasir

Peniaga di MARA Digital Kuala Lumpur, Muhammad Arifin Mohd Nasir

Sementara itu, pelanggan tetap, Shahrul Izzat Salehudin, 25, berkata dia sering menyaran rakan-rakannya untuk mendapatkan telefon bimbit atau komputer riba di sini kerana produknya sudah pasti asli.

“Sebagai pelanggan setia kedai Ustaz saya sering datang untuk membeli barang keperluan seperti kabel atau pengecas telefon bimbit di sini kerana harganya sangat berpatutan,” katanya.

Pelanggan setia Kedai Ustaz, Shahril Izzat Salehudin

Pelanggan setia Kedai Ustaz, Shahril Izzat Salehudin

Harga jualan yang ditawarkan oleh peniaga- peniaga di MARA Digital Kuala Lumpur adalah berdasarkan kawalan harga yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) sering mengadakan lawatan di MARA Digital Kuala Lumpur untuk memantau perjalanan perniagaan dan memberi khidmat tunjuk ajar tentang cara-cara promosi yang lebih efektif kepada peniaga.

Harga setiap barang yang dijual dipaparkan

Harga setiap barang yang dijual dipaparkan

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif WGN Scan Sdn Bhd, Wan Mohamad Zaffuan Wan Mohamad Zin berkata, lokasi MARA Digital Kuala Lumpur yang strategik kerana terletak di tengah-tengah ibu kota dan bersebelahan dengan Kompleks Sogo, Kompleks Pertama serta pusat membeli-belah Maju Junction menjadi daya tarikan utama pelanggan untuk datang ke sini.

“Pihak kami juga akan menambah baik kemudahan yang ada di sini. Tidak lama lagi akan terdapat Digital Kafe, sudut permainan video dan penambahan kiosk. Kami mahu menyediakan keselesaan kepada pelanggan dan dalam masa yang sama untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kami,” katanya.

Pengarah Eksekutif WGN Scan Sdn Bhd, Wan Mohamad Zaffuan

Pengarah Eksekutif WGN Scan Sdn Bhd, Wan Mohamad Zaffuan

Tinjauan Malaysiaaktif mendapati ramai pengunjung berbilang bangsa termasuk pelancong berkunjung ke MARA Digital Kuala Lumpur sekaligus menangkis dakwaan mengenai penurunan jumlah pengunjung dan kemerosotan pendapatan peniaga di sini.

 

– AH

Tinggalkan komen anda