RUMPUN 2017 Satukan Tiga Negara

graf
Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Ihsan Rabbiatul Najua Rosman (Sabah)

JOHOR BAHRU, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Residensi Untuk Masyarakat, Perpaduan Untuk Nusantara (RUMPUN) tidak lama lagi akan melabuhkan tirainya, 15 pengkarya bersama 10 orang delegasi Malaysia yang baru sahaja tiba di tanah air.

Salah seorang pengkarya yang juga guru seni, Rabbiatul Najua Rosman, 30 antara yang terpilih ke Bandung, Indonesia untuk menyertai RUMPUN yang diadakan bermula 28 September hingga 4 Oktober 2017. Sebanyak 15 karya mereka yang telah berjaya dipamerkan dalam program tersebut dan kali ini, delegasi Malaysia diwakili tidak hanya oleh kumpulan pengkarya seni lukis tetapi juga kumpulan pengkarya seni arca dan seni pop up.

Najua ketika beraksi di RUMPUN 2017.

Najua ketika beraksi di RUMPUN 2017.

Antara 15 pengkarya yang terpilih, sembilan daripadanya merupakan guru manakala selebihnya ialah pengkarya bebas. Menurut Najua, pada tahun ini, Bandung telah menjadi tuan rumah RUMPUN yang dikelola oleh Persatuan Guru Pelukis Bandung (PGPB) sementara yang pertama telah diadakan di Hujung Tanah, Art Residency di Kota Tinggi, Johor pada 2015.

“Karya yang saya pamerkan tahun ini bertajuk Reborn (1987) diinspirasikan daripada diri sendiri. Anak kembar dalam karya tersebut merupakan simbolik diri saya dan kakak kembar, Rabbiatul Natrah Rosman.

“Saya selalu merasakan sedewasa mana pun seseorang, dalam hatinya masih seorang anak kecil yang sentiasa perlukan pelukan, cinta dan sokongan ibu bapanya. Jantung itu ialah perasaan rindu pada memori masa kecil yang beri saya inspirasi untuk siapkan karya ini.

“Selain itu, terkadang apabila kita melakukan khilaf dan kesalahan itu sangat dikesali, kita seperti mahu dilahirkan semula dan menghadapi kehidupan yang lebih baik sejurus itu,” jelas Najua ketika dihubungi pada Isnin.

Menceritakan detik awal minatnya terhadap dunia seni, semasa kecil, ayahnya Rosman Abd Rashid selalu memberi pendedahan tentang seni visual dan antara cara yang biasa digunakan adalah dengan menonton rancangan Disney.

“Dulu, siri Disney seperti Pochahontas, Cinderella, Mulan dan lain-lain masih dalam bentuk kartun 2D. Penggunaan tona warnanya sangat menarik dan boleh digunakan sebgai rujukan dalam melukis dan mewarna.

Karya Reborn (1987) (tengah) milik Najua yang dipamerkan bersama 15 karya lain dari Malaysia.

Karya Reborn (1987) (tengah) milik Najua yang dipamerkan bersama 15 karya lain dari Malaysia.

“Ayah juga galakkan menonton Disney untuk melihat gaya lukisan anatomi dan pemandangan, ” jelas Najua yang meminati seni doodle atau menconteng sejak kecil.

Menurut Najua, membuat doodle tidak perlukan spesifik kertas atau media untuk melukis. Dia selalu membuat doodle di tepi buku, buat corak untuk dijadikan pemisah atau yang sering dilakukannya ialah melukis belakang buku.

“Saya mula serius dengan seni doodle ini selepas menglibatkan diri dalam kumpulan pengkarya guru pada 2015.  Saya dapat berjumpa dengan beberapa artis doodle, kartunis dan pengilustrasi yang berpengalaman dan saya dapat lihat doodle sebagai satu elemen baharu dalam seni visual. Saya masih mencari identiti saya dalam seni doodle.

Jelasnya, ayahnya yang juga seorang pelukis pelan banyak menunjukkan kemahiran melukis dan mewarna secara manual apabila ada masa.

“Ayah saya selalu cakap yang unsur seni ada di mana-mana, tona warna pula seperti garisan yang berlari-lari di depan kita, kita cuma perlu lebih menghayati dan memerhati sekeliling dengan baik,” katanya yang turut membantu melukis mural di dinding sekolah.

Najua berharap agar dapat mengetengahkan seni doodle kepada masyarakat Malaysia dan mahu komuniti tahu bahawa doodle bukan sekadar contengan biasa yang kita lakukan dalam buku atau sewaktu bosan.

“Seni doodle perlu menjadi satu terapi psikologi yang baik untuk masyarakat dan saya berharap doodle boleh menjadi satu alternatif bagi merawat masalah sosial di negara kita,”ujarnya.

Fakrul (dua dari kiri) ketika melawat di sekitar pameran.

Fakrul (dua dari kiri) ketika melawat di sekitar pameran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Senilukis dan Rekacipta Johor(SERUPA2), Fakhrul Zaman Mohd Sambas berkata melalui SERUPA2 peserta atau pengkarya terdiri daripada ahli yang berdaftar secara rasmi.

“Pengkarya mestilah terdiri dalam kalangan penggiat seni yang aktif daripada pelbagai latar belakang profesion seperti guru, kurator, peminat seni dan sebagainya serta mempunyai kelebihan untuk menghasilkan karya mengikut tema yang ditentukan melalui pelbagai jenis media,” kata Fakhrul.

Jelasnya, RUMPUN bertujuan untuk memupuk integrasi nasional dan pengantarabangsaan antara tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia melaluiseni, warisan, budaya dan bangsa.

“Antaranya, juga bagi memupuk jalinan kerjasama antara penggiat seni, penganjur, badan bukan kerajaan dan agensi terlibat bagi sama-sama merakyatkan seni.

“Melalui RUMPUN, penyatuan rakan seni daripada ketiga-tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura semakin akrab dan bertambah bilangannya.

“Kesinambungan rakan artis terdahulu dan baharu dapat dijalinkan dengan mesra melalui aktiviti dan pengisian yang membentuk jalinan hubungan integrasi nasional yang padu.

“Dengan hubungan baik ini maka kerjasama dan kesepakatan bagi menjayakan program yang dirancang menjadi amat mudah dan berjaya,” katanya lagi.

 

-SF
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...