
Laporan dan Foto oleh: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
CHUPING, 1 Okt (Malaysiaaktif) – Integrated Kenaf Industrial Park (1KIP) yang dijangka memanfaatkan hampir 200 peluang pekerjaan serta bakal menjana hampir RM7 juta setahun ekonomi negeri Perlis dirasmikan hari ini.
1KIP adalah model pembangunan kenaf yang melibatkan pelaburan hampir RM3 juta dan meliputi keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dengan konsep ‘seed to market’ bermula dari penanaman benih sehingga kepada pemasaran produk.
Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Datuk Mohd Adhan Kechik, menjelaskan projek ini merupakan nilai tambah dalam rantaian pengeluaran kenaf.
“Projek ini terdiri daripada tiga aktiviti utama iaitu pembangunan kilang perintis pulpa kenaf, pengeluaran fiber berkualiti tinggi dan galeri inovasi kenaf bagi tujuan pameran dan pemasaran produk kenaf.
“Dalam merancakkan industri ini, kerajaan sedang membina kilang pemprosesan kenaf yang mengeluarkan produk berasaskan kenaf untuk digunakan dalam industri pembinaan, automotif dan biokomposit,” jelasnya ketika berucap mewakili Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Mohd Adhan turut berharap program ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai industri kenaf sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi baharu.
Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Operasi, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Wan Baharudin Wan Ismail, model pembangunan 1KIP di Perlis ini merupakan program perintis dalam meningkatkan pendapatan rakyat.
“Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik LKTN yang mampu mewujudkan ekosistem industri kenaf yang lebih lengkap serta berdaya maju.
“Inisiatif ini turut menyediakan peluang penanaman kenaf yang lebih luas kepada pekebun kecil dan pengusaha berskala besar seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” ujarnya yang ditemui di Pusat Pertumbuhan Desa (PPD), Batu Bertangkup, di sini hari ini.
– AH