Kempen BIJAK Beri Impak Positif Terhadap Keselamatan Kanak-Kanak

IMG_9270

Laporan & Foto oleh: Mohd Faizal Mansor

LABUAN, 6 Okt (Malaysiaaktif)– Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K “Safe And Protect” semalam memberi impak positif terutamanya dalam memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan kanak-kanak.

Menurut pelajar Tingkatan satu SMK Pantai IB World, Nur Syafiqah Zainudin, 13, kempen tersebut mula menyedarkannya tentang perlunya menjaga keselamatan diri .

Nur Syafiqah (kiri) dan Siti Ainin (kanan)

Nur Syafiqah (kiri) dan Siti Ainin (kanan)

“Ini penting lebih-lebih lagi kepada wanita kerana gejala keganasan terhadap wanita mahupun kes culik yang melibatkan kanak-kanak serta pelajar perempuan pada masa ini semakin berleluasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti Aini Humaidi, 13 pula berkata segala input serta sesi nasihat terhadap keselamatan diri melalui kempen tersebut akan disampaikannya kepada rakan sebayanya yang lain agar turut sama sedar betapa pentingnya menjaga keselamatan diri.

“Pelajar bawah umur sepatutnya tidak mudah mengikut atau jatuh cinta dengan individu yang tidak dikenali lebih-lebih lagi melalui aplikasi media sosial yang semakin menular belakangan ini.

“Justeru, khidmat nasihat melalui sesi ceramah yang dihadiri tadi amat membantu saya dalam memupuk kesedaran agar sentiasa berwaspada dengan individu yang tidak dan baru saja dikenali”, tambahnya.

Melalui kempen ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kanak-kanak, ibu bapa serta orang dewasa terutama dari aspek keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan lebih mendalam”.

Zamri (dua dari kiri) dan Ishak (dua dari kanan)

Zamri (dua dari kiri) dan Ishak (dua dari kanan)

Demikian kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan (PL), Mohd Zamri Mohd Esa ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kebangsaan Negara 2017 dan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K “Safe And Protect” 2017 peringkat Labuan, di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai (SMK) IB World, di sini, semalam.

Zamri yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PL berkata B.I.J.A.K yang merupakan akronim bagi Banteras, Indeks, Jenayah Terhadap Kanak-Kanak meliputi usaha untuk mencegah, mengelak atau membanteras kanak-kanak dari menjadi mangsa kegiatan jenayah yang berupa pengabaian, penderaan dan eksploitasi dari aspek fizikal, seksual dan emosi.

“Sesungguhnya keselamatan kanak-kanak ini bukan sahaja terletak di bahu agensi-agensi di bawah kerajaan tetapi masyarakat sekeliling juga perlu bersama-sama memainkan peranan utama dalam memastikan komuniti mereka di dalam keadaan yang selamat.

“Justeru, melalui kempen ini juga prosedur mencegah kemalangan perlu dididik dan diterap di dalam minda setiap kanak-kanak seawal mungkin kerana kita tidak boleh beranggapan bahawa kanak-kanak mengetahui tentang risiko yang ada,” tambah Zamri.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, Ishak Aku Abd. Rahman, Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016 Tahun 2016 mencatatkan kejayaan kepada kementeriannya apabila pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan dan diwartakan sebagai Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

“Saya berharap melalui pindaan ini, kebajikan dan keselamatan kanak-kanak di Malaysia akan lebih terjamin”, tambah Ishak.

“Antara pindaan yang dilakukan ialah, Daftar Kanak-Kanak, Perintah Khidmat Masyarakat (CSO), serta 5 penjagaan berasaskan keluarga dan kenaikan penalti yang mana akta ini telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017,” tambahnya lagi.

Ceramah disampaikan oleh Polis Diraja Malysia, Jabatan Pendidikan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan.

SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...