Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurSabah

Foto Menempuh Lautan Arang Wakil Tunggal Sabah

By 15 November 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mohd Nazri Mohd Rapaai (Sabah)

KOTA KINABALU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Hatinya berbunga-bunga riang saat melihat foto bidikannya dipamerkan bersama karya-karya unggul dalam Simposium dan Pameran Fotografi di Auditorium dan Galeri Seni MaTIC.

Pameran anjuran Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) itu julung kali diadakan dengan kerjasama Street2Street dan Galeri Seni Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Azman mengimpikan untuk membuat pameran solo satu hari nanti

Azman mengimpikan untuk membuat pameran solo satu hari nanti

Simposium dan Pameran Fotografi yang diadakan selama lapan hari berakhir 18 November ini disertai jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Azman Jumat,49 selepas menerima pelawaan daripada seorang rakan seminggu sebelum pameran dimulakan.

“Ketika dipelawa saya berfikir sejenak sama ada saya layak untuk sertainya kerana sudah sedia maklum program anjuran MPPA ini melibatkan jurufoto media nasional dari seluruh negara.

“Tetapi, memandangkan ini ialah pameran yang julung kali diadakan maka saya mengambil keputusan untuk sertai kerana merasakan perlu sebagai pendedahan untuk diri sendiri dan jabatan,” ujarnya.

Namun begitu, Azman turut rasa gementar saat mengetahui bahawa dia satu-satunya peserta tunggal dari Sabah yang menyertai pameran tersebut, tetapi diteruskan juga menghantar borang memperjudikan nasib tanpa mengetahui penyertaan itu diterima atau ditolak.

“Pihak urus setia pastinya akan menilai kualiti dan penceritaan sesuatu foto jika sesuai untuk dipamerkan dan antara terma dan syarat yang diletakkan ialah menghantar foto yang dirasakan terbaik sepanjang kerjaya.

“Saya lantas terfikirkan foto yang pernah menobatkan saya sebagai pemenang ‘Best News Photograph Award’ sempena Kinabalu Shell Press Award 2016 dan syukur, foto itu menepati kehendak mereka,” ujar Azman ketika ditemui pada Isnin.

Walaupun dia teringin untuk hadir di sana menyaksikan sendiri karyanya dipamerkan, namun atas tuntutan tugas dia hanya mengharapkan rakannya yang berada di tanah Semenanjung untuk membantu merakamkan suasana di galeri.

Pengunjung ini khusyuk mendalami maksud tersirat foro yang dipamerkan

Pengunjung ini khusyuk mendalami maksud tersirat foto “Menempuh Lautan Arang”.

Menceritakan semula saat membidik foto yang bertajuk “Menempuh Lautan Arang”, menurut Azman dia sedang dalam tugasan rasmi ke Semporna seminggu selepas tragedi kebakaran yang berlaku Kampung Bangau-Bangau.

“Sekadar suka-suka ingin meninjau lokasi kebakaran, saya berinteraksi dengan beberapa mangsa yang terpaksa menyewa perahu untuk ke rumah mereka yang terselamat.

“Saat itu juga saya melihat si pendayung berusaha untuk meredah arang sisa kebakaran yang memenuhi permukaan lautan tetapi dia tidak berputus asa demi membantu mangsa.

“Saya rasa momen tersebut perlu dirakamkan untuk dikongsikan kepada umum agar turut sama merasai keperitan, kesusahan dan sifat ingin membantu penduduk setempat,” jelas Azman.

Bertugas hampir 24 tahun dalam kerjaya ini, Azman berpendirian agar tidak mudah melatah jika karyanya dikritik, dia lebih gemar menilai semula kritikan tersebut dan baiki kelemahannya.

“Lain orang lain pandangannya, saya akan ambil kritikan yang positif walaupun adakala menyakitkan. Apa yang paling penting jangan mudah putus asa atau merasa bosan untuk mendapatkan sudut terbaik atau menanti momen untuk dirakam.

Antara karya yang dipamerkan di Auditorium dan Galeri Seni MaTIC.

Antara karya yang dipamerkan di Auditorium dan Galeri Seni MaTIC.

“Dalam fotografi ini adakalanya ada kejutan yang tidak disangka kerana momen itu hanya kita yang berjaya rakamkan dan mungkin akan menjadi perhatian dunia, tapi semua itu perlu ada usaha juga,” katanya.

Azman turut mengimpikan untuk membuat pameran solo satu hari nanti dan dapat menerbitkan buku-buku fotografi hasil rakaman pengalaman semasa bertugas dalam acara rasmi jabatan di peringkat negeri atau nasional dan gambar-gambar budaya serta foto kembara.

Dia turut berkongsi kepayahannya untuk mendapatkan maklumat pembelajaran tentang fotografi pada awal kerjayanya dahulu dan terpaksa membeli majalah atau melawat perpustakaan.

“Biasanya saya akan mencari buku discovery atau NatGeo yang boleh didapati di perpustakaan kerana harganya agak mahal untuk dibeli. Berbanding sekarang ilmu boleh dicari melalui talian Internet dengan melayari blog-blog fotografi dari dalam dan luar negara.

“Zaman fotografi digital amatlah pantas. Masa sebenar sesuatu peristiwa menjadi buruan dunia media sosial. Kita juga harus berhati-hati dan bijak menilai agar masyarakat tidak tertipu atau terkeliru oleh foto-foto yang kita ambil dan pamerkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dalam pada itu, penyertaan Azman dalam pameran fotografi tersebut turut mendapat perhatian daripada Pengarah Penerangan Sabah, Swady Guliling.

Swady berharap JaPen dapat menghasilkan lebih ramai bakat yang hebat.

Swady berharap JaPen dapat menghasilkan lebih ramai bakat yang hebat.

Menurut Swady, Azman merupakan salah seorang jurufoto jabatan yang mempunyai cita-cita yang tinggi, komited dalam kerja dan seorang yang tekad untuk mencapai pencapaian yang tinggi khususnya dalam bidang fotografi.

Tambahnya, usaha dan pencapaian Azman  sangat menbanggakan, dan dia sering menekankan kepada kakitangan untuk sentiasa menonjol seperti yang telah ditunjukkan oleh Azman dalam usaha dan pekerjaannya.

“Saya sebagai pengarah akan sentiasa menyokong usaha-usaha kakitangan JaPen Sabah yang ingin menonjolkan kreativiti dalam kerjaya mahupun bakat lain di luar bidang kerja mereka.

“Saya sokong agar mereka ini dapat mengembangkan lagi bakat mereka, seterusnya memantapkan peribadi masing-masing dan memberi kesan positif kepada jabatan.

“Kejayaan Azman juga membuktikan dia mempunyai kredibiliti dan ciri-ciri yang cemerlang dalam kerjayanya. Saya doakan dia akan berjaya dari semasa ke semasa,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda