Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Jom Bertani PD Dedah Cara Mudah Hasil Baja Organik

By 16 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan Foto: Noorshazana Shaadan

PORT DICKSON, 15 Nov (Malaysiaaktif) –“Dengan hanya menggunakan bahan seperti buah-buahan, sayuran, sisa makanan dan sisa tumbuhan yang kita buang setiap hari, kita sebenarnya dapat menghasilkan baja organik dengan mudah dan ringkas caranya.

Demikian kata pelajar kolej, Nur Syamimi Kamal, 20, yang ditemui semasa Program Hari Ladang “Jom Bertani” Peringkat Daerah Port Dickson 2017 di Balai Informasi Pertanian Linggi pagi tadi.

Abdul Rahman Mohd Redza menyempurnakan gimik perasmian Hari Ladang “Jom Bertani” Peringkat Daerah Port Dickson.

Abdul Rahman Mohd Redza menyempurnakan gimik perasmian Hari Ladang “Jom Bertani” Peringkat Daerah Port Dickson.

Tambahnya, penggunaan baja organik ini akan dipraktikkan untuk menggantikan penggunaan baja kimia yang sering digunakan.

“Sebelum ini, saya sendiri tidak tahu tentang baja organik. Tapi, selepas melihat demonstrasi bionutrien ini, saya sudah faham cara-cara hendak menghasilkan baja daripada bahan organik.

“Penghasilan baja organik ini perlulah diketengahkan kepada golongan belia kerana baja organik ini boleh dijadikan sebagai minat dan sumber pendapatan tambahan mereka.

“Melalui program anjuran Jabatan Pertanian seperti Hari Ladang, belia akan lebih terdedah akan kepentingan penggunaan baja organik dan cara-cara hendak berbakti kepada tanah,” jelasnya.

Bagi seorang lagi pelajar kolej, Umi Aina Nazira, 20,  berpendapat baja bio nutrien ini sangat ringkas resipinya dan mudah diikuti proses penghasilannya oleh semua peringkat lapisan masyarakat.

“Saya sebagai pelajar jurusan pendidikan merasakan penghasilan baja organik ini boleh dijadikan sebagai bahan pembelajaran di sekolah. Perkara ini boleh memberikan pendedahan kepada pelajar supaya mengamalkan langkah penjimatan dan menarik minat mereka untuk bercucuk tanam.

“Bahan seperti ikan, pisang, kangkung, gula merah, nenas dan air adalah sangat mudah diperoleh dan konsep pertanian menggunakan baja organik ini wajar diketengahkan kepada umum,” ujarnya.

Dalam pada itu, pegawai pertanian, Nor Mazni Mazlan, menjelaskan terdapat beberapa jenis baja organik seperti baja daun, baja buah, Plant Booster, Bloodmeal, baja kawalan serangga dan banyak lagi.

“Kami sangat menggalakkan usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian menggunakan baja organik dalam membantu pembesaran tanaman mereka. Perkara ini turut membantu dalam mengurangkan penggunaan baja kimia yang boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan manusia.

“Selari dengan dasar kerajaan dan fokus Jabatan Pertanian ke arah pertanian yang lebih lestari, penggunaan bahan organik sebagai baja dapat memberikan manfaat bukan hanya kepada faktor kesihatan tetapi sebagai langkah penjimatan kos tanaman.

“Penggunaan baja organik seperti yang saya tunjukkan merupakan satu alternatif kepada penggunaan baja kimia. Penggunaannya bukan sahaja selamat tetapi mampu memberikan hasil tanaman yang lebih berkualiti.

Baja organik yang telah siap diadun bersama untuk diperapkan selama 45 hari.

Baja organik yang telah siap diadun bersama untuk diperapkan selama 45 hari.

“Semua bahan yang digunakan perlulah melalui beberapa proses sebelum kita mendapat produk yang terakhir. Kesemua bahan perlulah diperapkan selama 45 hari, ditapis selepas proses pemerapan dan disimpan dalam bekas yang tidak terdedah kepada cahaya terus,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Kawasan Linggi, Datuk  Abdul Rahman Mohd Redza berkata tema Hari Ladang “Jom Bertani” ialah satu program yang sangat penting kerana dalam konteks sesebuah negara, sumber makanan ialah isu keselamatan.

“Sekiranya negara tidak cukup sumber makanan menjadi satu perkara yang berbahaya dan membimbangkan kerana boleh diisytiharkan darurat,” jelasnya semasa merasmikan majlis.

-SF

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda