Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

21 Munsyi Muda Bahasa Mantapkan Pemerkasaan Bahasa Melayu

By 16 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 21 Munsyi Muda Bahasa daripada pelbagai jabatan dan agensi menerima watikah pelantikan sempena Majlis Sasana Bahasa oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam, di sini siang tadi.

Menurut Zainal, inisiatif ini diambil sebagai satu bentuk manifestasi dalam menjulang martabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara.

Zainal (dua dari kanan) ketika melancarkan Majlis Penutup Sasana Bahasa, di sini.

Zainal (dua dari kanan) ketika melancarkan Majlis Penutup Sasana Bahasa, di sini.

“Untuk itu saya menyeru kepada munsyi muda bahasa untuk tampil kehadapan untuk membimbing agar hasrat untuk memugarkan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam supaya bahasa ini terus gemilang,” katanya.

Zainal turut menjelaskan antara inisiatif dilakukan untuk memperkasaan Bahasa Melayu ialah dengan menyemak semula pekeliling perkhidmatan bilangan 9/2011 mengenai panduan penggunaan bahasa kebangsaan.

“Dalam perkhidmatan awam, penstrukturan semula jawatankuasa kecil pelaksanaan, bagi memastikan Bahasa Melayu di sesebuah jabatan atau kementerian itu terus diperkasakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin, ternyata gembira dengan pelantikan munsyi muda yang disifatkannya sebagai satu langkah kedepan dalam usaha memperkasakan dan mendaulatkan warisan Bahasa Melayu.

Lim menggesa Munsyi Muda agar dapat lebih mendalami pelbagai ilmu bahasa agar lebih unggul.

Lim menggesa Munsyi Muda agar dapat lebih mendalami pelbagai ilmu bahasa agar lebih unggul.

“Saya mengharap sangat agar munsyi muda ini dapat memainkan peranan mereka sebaik-baiknya, melaksanakan tugas dengan penuh berhemah dan dalam konteks yang lebih besar untuk meletakkan bahasa kita ke tempat yang sewajarnya,” katanya yang ditemui sempena majlis penutup Bulan Bahasa Kebangsaan itu, di sini.

Lim turut mengingatkan munsyi muda ini untuk komited dengan terus bekerja secara berterusan.

“Mereka seharusnya bekerja secara tekal ataupun konsisten kerana melalui cara yang sedemikian sahaja kita akan dapat menilai dan memperbaiki kelemahan yang serba sedikit ada.

“Disamping itu mereka perlu membawa idea-idea baharu kedalam penggunaan bahasa kita supaya kekal sebagai pemacu kepada pembangunan dan yang paling utama ialah menjadi jurubicara jiwa bangsa kita,” jelasnya lagi.

Lim turut menggesa agar munsyi muda ini mendalami pelbagai ilmu bahasa, selok-belok pemakaian bahasa dan pertahankan kepersisan Bahasa Melayu supaya tidak tercemar oleh anasir-anasir yang mungkin mengganggu-gugat kemurnian bahasa ini.

-AAS

Tinggalkan komen anda