Skip to main content
Berita TempatanSabah

UiTM Dedah Pertanian Industri Yang Perlu Diceburi

By 16 November 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Matfazly Mat Kasim (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Penganjuran Ekspo Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Kinabalu berjaya membuka minda bahawa pertanian ialah suatu industri yang perlu diceburi dan diterokai masyarakat hari ini.

Ekspo yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad di pekarangan Ujana Saujana universiti berkenaan turut menarik minat orang awam yang hadir ke ekspo berkenaan.

Pengunjung, Ghulam Husin, dari daerah Lahad Datu berkata penganjuran ekspo ini bertepatan memandangkan sektor pertanian hari ini ialah nadi pendapatan negara dan melalui penganjuran ini dia amat teruja untuk mendalami bidang ini dengan lebih serius.

“Saya merupakan salah seorang pengusaha ladang kelapa sawit di Lahad Datu dan memandangkan saya berada di ibu negeri maka saya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi ekspo ini.

“Umumnya ekspo ini baik dan wajar diperluas lagi penganjurannya kerana banyak maklumat serta ilmu yang saya perolehi daripada ekspo ini. Oleh itu, saya berharap ekspo sebegini dapat terus diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap pentingnya menjadi seorang peladang,” ujarnya.

Tambahnya, selain memberi ilmu, para pengunjung juga dapat memberi kesedaran kepada para graduan mahupun belia yang sedang mencari pekerjaan bahawa bidang pertanian mampu memberi peluang terbaik kepada sebuah pekerjaan yang menghasilkan pendapatan lumayan.

Produk pertanian Madu Kelulut adalah antara yang dipamerkan semasa ekspo tersebut.

Produk pertanian Madu Kelulut adalah antara yang dipamerkan.

Sementara itu, peserta ekspo yang ditemui, Mohd. Nor Salam Abdul Najid berkata ekspo yang diadakan baik dan banyak mendedahkan kami sebagai pelajar kursus Diploma Perladangan UiTM kepada dunia perladangan sebenar.

“Melalui ekspo ini kami dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu terutama dengan para peladang sebenar terhadap permasalahan yang mereka hadapi dalam mengurus ladang mereka.

Katanya, perkongsian maklumat bersama pengusaha ladang banyak memberi semangat kepada kami untuk terus mencipta pelbagai produk bantuan kepada pengusaha tersebut.

Menurutnya, ekspo yang diadakan telah melibatkan semua pelajar yang terdiri daripada pelajar-pelajar semester 1 hingga 6, Diploma Perladangan seterusnya memberi peluang kepada pelajar terbabit untuk lebih yakin pada diri.

Dalam pada itu, pensyarah (UiTM) merangkap penyelaras ekspo, Hazmi Awang Damit berkata ekspo ini merupakan program tahunan fakulti Peladangan dan Agroteknologi UiTM Kota Kinabalu, Sabah.

“Ekspo yang telah diadakan untuk kali kelima ini juga diadakan bersempena dengan program Hari Terbuka Ladang bagi pusat pengajian ini.

“Program ini telah diadakan sejak 2009 sehingga kini dan lebih bertujuan untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa UiTM turut memiliki pelbagai produk yang boleh diketengahkan serta diperluaskan bagi kegunaan para peladang bagi menyemarakkan lagi industri pertanian di negeri ini,” katanya.

Ekspo ini juga turut memberi pendedahan kepada pelajar terhadap perkembangan semasa pertanian selain dapat membentuk keyakinan diri dan kemajursn pelajar dalam berkomunikasi dengan masyarakat.

uitm expo2

Pelajar turut memberikan penerangan kepada pengunjung yang hadir ke ekspo terbabit

“Terima kasih dan bersyukur atas sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan UiTM dalam membantu menjayakan penganjuran ekspo ini yang turut diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UiTM Sabah.

“Sebagai seorang pensyarah, saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama terutama dalam kalangan pelajar dan kakitangan UiTM Sabah yang banyak mempermudahkan perjalanan ekspo ini demi mencapai matlamat penganjurannya.

”Saya berharap ini akan dapat diteruskan dan menjadi platform kepada para pelajar kepada penganjuran ekspo yang lebih besar dalam usaha mendidik pelajar terlibat secara langsung dalam dunia pertanian,” ujarnya semasa ditemui di ekspo berkenaan pada Isnin.

-SF

 

Tinggalkan komen anda