Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Kerajaan Negeri Sembilan Hargai Jasa Ahli Sukan

By 13 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Daniel Jong / Foto: Faizal Abdul Hamid

SEREMBAN, 13 Dis (Malaysiaaktif) – “Persatuan sukan di negeri ini diminta untuk tidak berpolitik dalam kalangan mereka sendiri. Pada masa yang sama, persatuan sukan harus memainkan peranan mereka untuk menjaga kebajikan para atlet supaya dapat membantu meningkatkan prestasi mereka”.

Demikian menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Majlis Apresiasi Sukan Negeri Sembilan 2017, di sini semalam.

Mohamad bergambar bersama para atlet.

Mohamad bergambar bersama para atlet.

Pada majlis itu, penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S.Kumar, 38, dan juara dunia Wushu, Phoon Eyin, 21, masing-masing telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati. Kumar telah mewakili Malaysia dalam pasukan kebangsaan sejak 1999 dan kini mempunyai 295 caps.

Eyin pula pernah dua kali menjadi juara pada 2013 dan sekali naib juara pada 2015. Mereka berdua masing-masing mendapat wang tunai sebanyak RM 10,000 dan piala pusingan.

Dalam pada itu, beberapa pemenang pingat di Sukan SEA 2017 dan Sukan Para Asean 2017 yang berasal dari negeri tanah beradat ini juga turut diraikan pada majlis yang sama.

Sebanyak 16 pingat emas, 13 pingat perak dan 11 pingat gangsa telah dimenangi dalam Sukan SEA 2017 manakala bagi Sukan PARA ASEAN 2017, empat pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa berjaya dimenangi.

Para pemenang pingat juga turut tidak ketinggalan mendapat imbuhan, iaitu emas individu RM5,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,500 manakala bagi kategori berpasukan, mereka menerima sebanyak RM3,000 bagi emas, perak RM1,500 dan gangsa RM1,000.

Pada majlis yang sama, seramai 10 orang atlet sukan legenda yang pernah mengharumkan nama Negeri Sembilan juga diraikan. Atlet legenda menerima RM1,000 manakala 50 atlet Jasamu Dikenang mendapat RM500.

Ibu bapa atlet turut hadir memberikan sokongan kepada para atlet.

Ibu bapa atlet turut hadir memberikan sokongan kepada para atlet.

Menurut Exco Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zaifulbahri Idris, jumlah atlet Negeri Sembilan yang mewakili Malaysia di Sukan SEA juga bertambah. Sebanyak 65 atlet Negeri Sembilan di Sukan SEA 2017 berbanding 29 orang pada Sukan SEA di Singapura.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sembilan, Fouzee Abdul Aziz.

SF

Tinggalkan komen anda