Cegah Kanser Melalui Ujian Pap Smear

97f5b448-0020-43dc-9025-271bf23c3eac
Sambutan yang menggalakkan dan keadaan ketika pendaftaran semasa Program Jelajah WOW.

 

Laporan:  Fauzrina Hj Bulka & foto : Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Hadir menemani dua orang rakannya ke Program Jelajah WOW (Well Being of Women) di Perpustakaan Negeri memberi ilmu baharu buat seorang penjawat awam, Zuraini judil, 31.

“Dengan penganjuran ini akan dapat menggalakkan wanita untuk menjalani pemeriksaan kerana ia sangat berbeza daripada hanya membaca mengenainya.

“Penyampaian info secara bersemuka lebih mencapai matlamat dengan bantuan slaid bergambar kerana lebih mudah difahami pengunjung.

944d46d5-4dff-42b7-8d32-485759a70c52

Janet(empat dari kanan) ketika melawat gerai penjagaan diri wanita.

“Saya sendiri tidak faham apa itu Human Papilloma Virus (HPV), tetapi dengan mendengar taklimat hari ini, barulah saya faham mengenainya walaupun saya menjalani pap smear setiap tahun,” ujarnya ketika ditemui pada Jumaat.

Beliau yang sudah empat kali menjalani pemeriksaan sejak berusia 27 tahun mengakui amat penting pada semua wanita mempunyai kesedaran untuk melakukannya.

“Penting menjalani pemeriksaan kerana ia merupakan aset utama wanita, kesedaran juga semakin meningkat untuk mencegah penyakit kanser dari awal.

“Kita boleh lihat dalam iklan atau di klinik kesihatan, ramai wanita yang telah menghidap kanser, kerana itu sebaiknya kita mencegah dari awal dan wajib lakukannya setiap tahun,” katanya.

Zuraini menjalani pemeriksaan pap smear setiap tahun.

Zuraini menjalani pemeriksaan pap smear setiap tahun.

Program Jelajah WOW yang dihadirinya diadakan secara kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) Negeri Sabah bersama-sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Program dirasmikan oleh Setiausaha Tetap, KPMHEP Janet K.L.Chee mewakili menterinya, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Turut hadir, Pengarah LPPKN Nurfarhana Lee dan Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Maria Sinti.

Dalam ucapannya Janet berkata, KPMHEP sentiasa mempertingkatkan penglibatan wanita dalam proses pembangunan negeri melalui perancangan, penyelarasan serta pemantauan pelaksanaan dasar, strategi dan program pembangunan.

” Program Jelajah WOW yang diadakan hari bertujuan untuk pemerkasaan wanita dari sudut kesihatan, antaranya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjalani ujian pap smear.

“Ujian ini juga sebagai langkah pengesanan awal kanser serviks dalam kalangan wanita, selain meningkatkan jumlah wanita menjalani ujian Pap Smear.

“Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti dan mendapatkan rujukan bagi wanita yang mengalami pra-kanser dan kanser serviks untuk tindakan susulan,” jelasnya.

Menurutnya, sejak program ini dimulakan pada 1 September 2017 hingga 15 Februari 2018, seramai 2,499 wanita telah menjalani pemeriksaan dan 1550 telah menjalani saringan kesihatan percuma.

“Saya berharap pelbagai aktiviti yang disusun hari ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada semua pengunjung khususnya wanita.

“Percayalah apabila wanita bahagia, keluarga akan turut gembira, masyarakat akan terbina dengan jayanya dan negara akan sejahtera,” ujar Janet.

 

-AAS

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...