Skip to main content
Home

Latihan ARF/DiREX Uji Kesediaan Awam, Tentera Tangani Bencana

By 25 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Malasyiaaktif) – Forum Latihan Amal Bencana Serantau ASEAN (ARFDirex) dianggap penting dalam menguji kesediaan awam dan tentera apabila berlaku bencana.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab berkata latihan ini bertujuan membentuk sinergi dan kerjasama di antara negara-negara ASEAN berdasarkan pengalaman pengurusan bencana serantau.

Menurut beliau, latihan akan menggunakan beberapa pendekatan untuk mengatasi cabaran dalam apa jua bencana.

“Antara cabaran termasuk cara menguruskan media. Sebagai contoh, sewaktu banjir besar di Kuala Krai tahun lepas, kita tidak dapat memaklumkan media mengenai apa yang sedang berlaku (pada waktu itu). Kami sendiri sebagai pengurus bencana berhadapan dengan kesulitan untuk menguruskannya. Kami tidak mahu menyebabkan seluruh negara turut panik,” katanya dalam satu wawancara kelmarin.

Thajudeen berkata lain-lain cabaran termasuk koordinasi secara besar-besaran sewaktu krisis, pengurusan mangsa, pengagihan bantuan dan cara mengurus bantuan sumbangan negara luar.

Katanya lagi, “Kami juga perlu menguruskan keperluan mereka yang paling terdedah kepada risiko, termasuk warga emas dan yang kurang upaya.”

Walaupun latihan telah dilakukan sejak sekian lama, namun siri kali ini menyerlah kerana ia merupakan yang pertama selepas para pemimpin ASEAN menubuhkan inisiatif “Satu Asean, Satu Tindakan”.

Beliau berkata, “Ia juga membabitkan penyertaan paling ramai…lebih daripada 3,000 orang terbabit, termasuk 1,280 peserta asing.”

Thajudeen turut menceritakan mengenai insiden berikutan gempa bumi di Nepal, apabila pasukan dari Malaysia dan Singapura mula tiba di lokasi bencana.

“Pada mulanya pasukan penyelamat dilencongkan ke Calcutta, tetapi kami berjaya mengadakan sidang dalam talian dan melakukan kerja-kerja koordinasi. Apabila pihak Thai tiba, mereka juga bekerjasama dengan kami,” katanya lagi.

Menurut Thajudeen, antara detik paling tidak dapat dilupakan di Nepal apabila melihat anggota pasukan SMART Malaysia, pasukan penyelamat Thai dan pasukan daripada Pertahanan Awam Singapura bersama-sama membantu menyelamatkan seorang mangsa yang tercedera.

“Kami mahukan kerjasama sebegitu di antara negara-negara ASEAN…latihan ini bertujuan memupuk ke arah matlamat itu,” katanya.

Thajudeen berkata latihan tersebut akan dibahagikan kepada dua – latihan teori dan latihan lapangan.

“Dalam latihan teori kami membentangkan kepada negara-negara peserta pelbagai senario berlainan dan meminta mereka mencadangkan penyelesaian.

“Ia perlu dilakukan dengan pantas dan para peserta mesti menganggapnya sama seperti keadaan benar berlaku.”

Dalam sesi latihan lapangan para peserta dihadapkan dengan situasi yang menyerupai bencana sebenar.

“Kami mencari pendekatan dan penyelesaian terbaik yang boleh digunakan dalam pengurusan bencana dalam negara,” kata beliau.

Latihan dari 24 hingga 28 Mei yang diketuai oleh MKN ini menyaksikan simulasi misi menyelamat di laut, udara dan darat membabitkan pendekatan pelbagai negara.

Ia membabitkan penyertaan 27 buah negara anggota ARF, Pertubuhan Antarabangsa dan Serantau, UNOCHA, ICRC Bulan Sabit Merah, Pusat Koordinasi Kemanusiaan Bantuan dan Pengurusan Bencana (AHA), IFRC, Mercy Malaysia dan Program Makanan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWFP).

Di pihak Malaysia, turut mengambil bahagian Kementerian Luar Negeri yang bertindak sebagai peneraju ARF dan lebih 25 agensi.

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda