Skip to main content
Home

Polis terima 65 laporan berkaitan PRK Permatang Pauh

By 3 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

PERMATANG PAUH 3 Mei — Polis menerima 65 laporan berhubung salah laku pilihan raya dan membuka lima kertas siasatan pada pilihan raya kecil (PRK)Parlimen Permatang Pauh sejak hari penamaan calon 25 April lepas hingga semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abduk Rahim Hanafi berkata tiga kertas siasatan berhubung kempen tanpa permit oleh PKR dan masing-masing satu membabitkan kes merosakkan bahan kempen calon Barisan Nasional (BN) dan kes mencuri pembesar suara di sebuah bilik gerakan BN di Kubang Semang, Jumaat malam.

“Pembesar suara bernilai kira-kira RM700 itu dilaporkan hilang pada Jumaat malam oleh petugas di bilik gerakan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat pengundian awal di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), di sini hari ini.

Sebanyak 627 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab pada PRK Parlimen Permatang Pauh bermula 8 pagi ini.

Proses pengundian berlangsung di dua saluran mengundi iaitu di Dewan Gemilang dan Berek Kelamin, Balai Polis Kubang Semang.

Abdul Rahim berkata sehingga semalam sebanyak 405 permit diluluskan bagi mengadakan ceramah oleh parti bertanding dan calon bebas bagi berkempen pada PRK Parlimen Permatang Pauh.

“Berdasarkan pemerhatian polis, hanya 163 ceramah diadakan oleh parti yang bertanding dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Saya harap semua pihak dapat kekalkan semangat kempen seperti ini sehingga tamat tempoh berkempen,” katanya.

Beliau berkata para pengundi diminta untuk keluar awal pada hari pengundian Khamis ini agar tidak berlaku kesesakan di pusat pengundian.

“Keluar awal dan jangan lupa bawa kad pengenalan. Saya beri jaminan keadaan trafik akan berjalan lancar dan keselamatan serta ketenteraman awam dalam keadaan baik sehingga hari pengundian pada 7 Mei ini,” katanya.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda