
Oleh Zamrud Laili
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Sejajar dengan pelan bertemakan “pertumbuhan berpaksikan rakyat,” komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti bagi membina masyarakat produktif dan sejahtera turut digarapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
RMK11( 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, hari ini, turut memberi tumpuan kepada kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan Bumiputera.
Bagi wanita, peranan mereka bukan sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.
“Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan meningkat daripada 54 peratus pada 2014 kepada 59 peratus menjelang 2020.
Beliau berkata ini di samping pelaksanaan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.”
Menerusi Dasar Belia Negara, kerajaan juga mahukan potensi dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan, pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.
Kerajaan telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi 1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2015.
Sehubungan itu, menerusi RMK-11, 1Malaysia Youth City akan mempunyai ekosistem komprehensif bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati kemudahan rekreasi, perumahan termasuklah rumah transit.
Selain itu, RMK-11 turut memberi tumpuan kepada kanak-kanak. Ia merangkumi penambahan pusat penjagaan golongan berkeperluan khas,selain memberikan peluang kepada yang berumur 13 hingga 18 tahun dan tinggal di institusi kebajikan untuk mendapat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional.
Sementara itu, sumbangan dan khidmat warga emas kepada negara akan sentiasa dihargai apabila fasiliti penjagaan warga emas ditambah baik dan diperbanyakkan sepanjang tempoh rancangan ini.
Kerajaan akan memperkukuh kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memperluaskan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada golongan ini.
Kerajaan dengan kerjasama sektor awam dan swasta menyasarkan penambahan tujuh lagi pusat kehidupan berdikari baharu di seluruh negara bagi memanfaatkan hampir 11 ribu OKU.