Skip to main content
Home

Sultan Nazrin, Tuanku Zara Ziarah 10 Makam, Batu Peringatan Sultan

By 10 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA KANGSAR, 10 Mei  — Sultan Nazrin Muizzuddin Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Ahad berangkat menziarah 10 makam sultan terdahulu dan satu batu peringatan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke XXXV.

Pasangan diraja itu tiba di lokasi Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I, yang merupakan Sultan Perak kedua, di Masjid Kota Lama Kanan kira-kira pukul 9 pagi.

Sejurus selepas itu, majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Kota Lama, Ismail Nordin.

Sultan Nazrin Shah menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan pasangan diraja itu dilihat memegang Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mansur Shah I ghaib ketika solat Jumaat di masjid itu dan penduduk setempat mempercayai baginda sudah mangkat.

Sultan Mansur Shah I tidak mempunyai makam dan batu peringatan itu diletak dalam masjid berkenaan bagi memperingati baginda sultan.

Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Ali Al Mukammal Inayat Shah, Sultan Perak ke-24 di Gedong Siam, Sayong dan makam Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzafar Shah (Sultan ke-27) di Masjid Sayong Tengah.

Pada sebelah petang, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berangkat menziarahi makam-makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26), Sultan Idris Murshidul’adzam Shah 1 (ke-28), Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (ke-29), Sultan Iskandar Shah (ke-30), Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (ke-31), Sultan Yussuff Izzuddin Shah (ke-32), Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allahi Shah II (ke-33) dan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (ke-34).

Kesemuanya terletak di Makam Diraja Bukit Chandan, atau dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran, bersebelahan Masjid Ubudiah.

Baginda berdua menyiramkan air mawar dan menabur bunga ke atas makam-makam berkenaan, selain diadakan majlis tahlil dan doa selamat.

Tinggalkan komen anda