Skip to main content
Home

Jenazah Nor Atikah Mangsa Kebakaran di Rusia Dikebumikan

By 10 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PASIR PUTEH, 10 Mei — Jenazah Nor Atikah Alias, pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang di sini, Ahad.

Jenazah pelajar itu disemadikan bersebelahan kubur neneknya Allahyarham Esah Ali kira-kira pukul 10.45 pagi.

Jenazah pelajar perubatan itu sebelum itu disembahyangkan di rumah bapa saudaranya Mat Yaacob Mat Jusoh terletak bersebelahan dengan tanah perkuburan.

Jenazah yang dibawa pulang dari Moscow, Rusia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 Sabtu malam dan terus dibawa dengan kereta jenazah dan tiba pukul 8.30 pagi Ahad di rumah bapa saudaranya itu.

Turut mengiringi jenazah dari Moscow dan KLIA ialah bapa allahyarham, Alias Yaacob, ibu Najihah Mat Jusoh dan tunang Nor Atikah iaitu Wan Mohd Ikwan Wan Ahmad Sayutti.

Nor Atikah, 25, pelajar tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia, Moscow, meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.

Segala kos untuk membawa pulang jenazah Nor Atikah ditanggung oleh kerajaan Terengganu kerana Allahyarham merupakan pelajar tajaan Yayasan Terengganu.

Menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu Ghazali Taib dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Najihah ketika ditemui pemberita berkata beliau sempat bertemu dan bercakap dengan Nor Atikah sebelum anaknya itu meninggal dunia tiga hari kemudian di hospital tersebut.

“Dalam pertemuan itu, Nor Atikah banyak menceritakan soal syurga. Beliau seorang anak yang baik dan saya reda dengan pemergiannya,” kata wanita itu.

Allahyarham ialah anak kedua daripada lima beradik. Bapanya seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Sementara itu, Mat Yaacob berkata dua ekor lembu yang telah disediakan untuk majlis perkahwinan Nor Atikah pada Ogos ini, akan digunakan untuk membuat kenduri doa tahlil untuk Allahyarham.

Beliau berkata allahyarham amat rapat dengan keluarganya dan apabila setiap kali pulang bercuti dia akan datang ke rumahnya.

-Bernama

Tinggalkan komen anda