Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Ekonomi Malaysia Berdaya Tahan, Diiktiraf Badan Antarabangsa

By 3 Julai 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Kedinamikan dan fleksibiliti ekonomi negara sentiasa disesuaikan dengan persekitaran ekonomi global. Beberapa langkah yang dilaksanakan kerajaan  seperti program transformasi kerajaan (ETP),  program transformasi ekonomi (ETP), transformasi fiskal negara, reformasi kewangan yang meluas, penggunaan model perniagaan baharu, pembangunan institusi dan penekanan kepada integriti seperti membendung amalan rasuah dan penyelewengan adalah antara faktor yang menjadikan pertumbuhan negara kekal kukuh dan berdaya tahan. Selain itu, mobiliti tenaga kerja, pelaburan yang besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan infrastruktur turut menjadi tarikan kepada pelaburan asing.

Hakikatnya, pendekatan pragmatik yang tidak dikekang oleh polisi jumud menjadikan ekonomi kekal berdaya tahan walaupun ketika berhadapan dengan krisis seperti krisis kewangan Asia 1997/98 dan krisis mata wang serantau 2007/2008. Selepas keluar daripada krisis mata wang serantau 2008, fakta menunjukkan bahawa sejak tahun 2009 ekonomi Malaysia kembali tumbuh dengan positif dengan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima hingga enam  peratus.

Walaupun sepanjang tempoh suku ketiga 2011 hingga suku kedua 2013 pelaburan langsung asing (FDI) negara mencatat pertumbuhan yang agak rendah, namun mulai suku ketiga 2013 negara mula menyaksikan pertumbuhan FDI yang positif. Mengikut portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, paras FDI di Malaysia meningkat daripada RM405.7 bilion pada 2012 kepada RM445.1 bilion pada 2013 (meningkat 9.7 peratus). Ia merupakan catatan tertinggi ‘actual realized investments’ yang pernah dicapai negara.

Pasaran modal negara terus menjadi sumber pembiayaan penting bagi ekonomi negara. Pada tahun lalu pasaran modal negara berkembang kepada RM2.76 trilion, peningkatan 2.6 kali ganda daripada saiz ekonomi Malaysia. Mengikut Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh, penjanaan modal itu melebihi RM90 bilion bagi tiga tahun berturut-turut sekali gus menunjukkan keluasan kapasiti pasaran modal bagi memenuhi keperluan pembiayaan ekonomi sebenar negara (Berita Harian, 5 Mac 2015).

Pasaran modal Islam adalah antara bentuk pasaran yang berkembang dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus sepanjang lima tahun lalu kepada RM1.59 trilion bagi 2014, iaitu sebanyak 58 peratus daripada keseluruhan pasaran modal. Malaysia juga mengekalkan kedudukan sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia iaitu 66 peratus daripada penerbitan sukuk global.

Kita yakin bahawa berasaskan program transformasi  ekonomi (ETP) dan transformasi fiskal (FTP), ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan dan mampu mengembang sekurang-kurang pada kadar sederhana antara  lima hingga enam peratus untuk dua tiga tahun akan datang. ETP memberi  penekanan kepada 12 Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA). Secara kumulatifnya,  sebanyak 196 projek daripada 12 NKEA dan enam projek menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) telah dilaksanakan. Keseluruhan jumlah pelaburan pula mencecah 219 bilion ringgit dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan.

Sepanjang lima tahun dilaksanakan ETP berjaya mengerakkan pertumbuhan negara. Pada tahun lalu nilai pelaburan kekal tingi dengan pelaburan sebanyak RM229 bilion berbanding RM142 bilion pada tahun 2009. Sebanyak 1.5 juta pekerjaan  baru telah diwujudkan dalam sektor-sektor NKEA sejak tahun 2010. Pendapatan per kapita rakyat Malaysia turut meningkat daripada A$7,059 pada tahun 2009 kepada A$10, 426.

Transformasi fiskal yang membabitkan langkah penstrukturan semula subsidi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilihat mampu memperkukuhkan kewangan negara serta menjadikan ekonomi negara  berdaya tahan dan lebih kompetitif di peringkat global. Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) akan menjadi mekanisme mengerakkan pertumbuhan ekonomi negara ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beberapa isu yang dibangkitkan dalam hal berkaitan ekonomi negara harus difahami dalam konteksnya yang betul seperti isu penurunan nilai mata wang dan kedudukan hutang negara. Mengenai nilai mata wang Ringgit, kita harus faham bahawa asas turun naiknya sesuatu mata wang itu adalah berdasarkan pengaruh ekonomi global. Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya menyusut. Sejak September 2014 hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika.

Namun, nilai Ringgit masih berkeadaan stabil berikutan asas ekonomi negara yang kukuh dan harga minyak mengukuh secara berperingkat. Menurut Gabenor bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia ketika ini, hanyalah bersifat sementara. Menurut Zeti, mata wang negara dijangka pulih sebagai sahaja ketidaktentuan yang menjejaskan sentimen pasaran kembali pulih.

Mengenai hutang negara pula, fakta yang harus diketahui ialah hutang dalam negara adalah daripada penerbitan dan penjualan bon-bon jangka panjang kerajaan dengan tempoh pembayaran balik antara empat ke sepuluh tahun. Manakala bayaran balik dalam tempoh satu tahun kurang dua peratus.  Ini menunjukkan keyakinan pihak yang memberi pinjaman (pembeli bon) terhadap  masa depan ekonomi Malaysia.

Badan Penarafan Kredit Antarabangsa mengiktiraf keupayaan ekonomi Malaysia untuk terus kukuh adalah bukti. Harga Indeks Risiko Kedaulatan Blackrock (BSRI) pernah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 hutang kerajaan paling kurang risiko. Maknanya,  hutang kerajaan termasuklah bon kerajaan berisiko rendah untuk terjadinya kemungkiran pembayaran faedah (default).

Terbaru, agensi penarafan Fitch mengumumkan untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia dan menyemak semula prospek Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) Jangka Panjang daripada negatif kepada stabil. ia merupakan pengiktirafan penting kepada ekonomi dan dasar kewangan negara. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak penarafan Fitch itu melambangkan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap program transformasi Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Perlu juga diketahui bahawa kedudukan rizab antarabangsa negara masih kukuh. Ia turut membuktikan bahawa ekonomi negara masih berkeadaan stabil. Bank Negara Malaysia (BNM) menyebut jumlah rizab negara pada 31 Mac 2015 berjumlah RM389.7 bilion (A$105.1 bilion). Ia meningkat kepada RM391.4 bilion (A$105.6 bilion) pada 15 April lalu dan meningkat sedikit lagi kepada RM394.3 bilion (A$106.4 bilion) pada 29 Mei 2015. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Kesimpulannya, kemampuan kerajaan mengurus ekonomi negara dengan pelbagai pendekatan strategik yang disesuaikan dengan tuntutan dan persekitaran global berjaya meletakkan ekonomi negara pada landasan yang betul dan berdaya tahan.

 

Tinggalkan komen anda