Skip to main content
HomeViral

Perjuangan Kumpulan Negara Islam (IS) Bukan Jihad

By 30 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Hisham Syah

PUTRAJAYA, 30 Julai – Rakyat dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan agenda gerakan militan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria ISIS).

Mungkin secara kasar ancaman ISIS ini hanyalah sebagai sekelumit rencam dalam kancah global, namun hakikatnya mereka bagaikan api dalam sekam, membakar dalam diam, menunggu masa sebelum marak.

Semestinya propaganda yang dibawakan oleh kumpulan militan ini adalah berjihad di jalan Allah. Namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan jihad. Apakah sebenarnya matlamat jihad?

Dalam istilah bahasa, jihad datangnya daripada perkataan `jahada’ yang bererti “menggunakan segala usaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu”. Dengan kata lain, jihad bermaksud bersungguh-sungguh. Contohnya, kita mungkin berjihad ketika belajar untuk menghadapi peperiksaan. Jihad dalam definisi syariah hanya boleh membawa satu makna, iaitu “menentang orang kafir di medan pertempuran dan menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah bagi menjadikan kalimah Allah (Islam) itu tinggi setinggi-tingginya”.

Jihad mempunyai maksud luas. Ia adalah usaha yang gigih, bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran. Ini kerana usaha gigih dan bersungguh-sungguh fi sabili­llah dapat diusahakan melalui jalan aman lagi adil dan bukannya ganas dan zalim.

Lebih utama sebelum berjihad itu adalah untuk mengetahui apakah matlamat utamanya. Matlamat jihad bukan sekadar berperang, tetapi mengubah rakyat menjadi lebih baik.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, , matlamat menentukan hala tuju sesuatu jihad tersebut. “Ulama sepakat mengatakan wajib menubuhkan negara Islam tetapi perlu ada matlamat yang jelas. Kerajaan yang tidak membawa pegangan agama maka hancurlah negara terbabit”.

Tambah beliau lagi, “Islam merupakan agama yang datang dengan kedamaian yakni dengan akhlak yang baik lagi sempurna. Tersebarnya Islam lebih meluas dengan akhlak berbanding mata pedang.”

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Salah Faham Mengenai Konsep Jihad’ di Putrajaya pagi tadi. Beliau turut menyatakan kefahaman jihad yang tidak jelas bakal mengundang petaka kepada seluruh dunia.

Tinggalkan komen anda