
GERIK, 16 Ogos — Krisis ekonomi pada 1997 adalah lebih teruk daripada ketika ini tetapi berjaya diatasi kerana adanya sokongan anggota pentadbiran kepada perdana menteri ketika itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“(Nilai) Ringgit Malaysia jatuh, masa itu hutang badan syarikat dalam Dollar, bank kita pula di bawah capitalise dan terpaksa kita tambat Ringgit tapi akhirnya kita berjaya melepasi krisis itu,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik di sini hari ini.
Beliau berkata anggota pentadbiran mahupun anggota UMNO perlu yakin kepada pucuk pimpinan yang menerajui sekarang bagi menjamin masa hadapan negara.
“Kalau nak kira masalah, zaman saya boleh kata tiada berapa banyak masalah, zaman orang lain yang memerintah 22 tahun barangkali lebih besar masalahnya, tetapi setiap masalah itu berjaya dilepasi kerana orang macam saya beri sokongan padu ketika itu,” katanya.
— BERNAMA