Skip to main content
EkonomiHomeViral

Tiada Permit Bersih 4.0 Dianggap Perhimpunan Haram

By 25 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 25  Ogos (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa  mengesahkan bahawa penganjuran Bersih 4.0 hujung minggu ini dianggap haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau menekankan bahawa sebarang  demonstrasi perlu mendapat kebenaran pemilik tempat seperti yang dimaktubkan dalam akta perhimpunan berkenaan

“Namun sehingga kini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertegas tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota, khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL serta kawasan sekitarnya” katanya dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin di Menara DBKL hari ini.

“Juga, polis sedang memantau sebarang kenyataan yang boleh mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan jika ada kenyataan sedemikian kita akan ambil tindakan, khususnya bawah seksyen 124 kanun keseksaan”

Tajuddin turut mengulas ia tidak menjadi masalah untuk mereka menganjurkan perhimpunan tersebut sekiranya mereka mematuhi undang-undang dikeluarkan oleh DBKL dan Polis.

Datuk Bandar berkata pihaknya sedia membantu dalam mendapatkan kebenaran untuk menggunakan Stadium Titiwangsa, Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Merdeka

“Jika mereka memohon, kita benarkan mereka adakan perhimpunan dalam stadium yang lebih sesuai untuk perhimpunan aman,” katanya.

Himpunan Bersih 4.0 dijadualkan bermula pada pukul 2 petang 29 Ogos ini sehingga pukul 11.59 malam 30 Ogos.

Tinggalkan komen anda