
Oleh Suriani Ghazali
IPOH, 13 Sept (Malaysiaaktif) — Kumpulan dari Negeri Sembilan muncul juara Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 2015 yang berlangsung di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Hulu Kinta semalam.
Mereka membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM6,000 dan hadiah iringan.
Tempat kedua dimenangi kumpulan dari Pulau Pinang dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5000 dan hadiah iringan, sementara Johor mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM4,000 berserta hadiah lain.
Negeri lain yang turut bertanding, termasuk Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pertandingan bertemakan #sehatisejiwa ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan dan merupakan program tahunan yang menjadi antara kaedah dalam memperingati tokoh-tokoh negara terdahulu.
Lebih tiga ribu orang hadir menyaksikan acara berwarna-warni yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Dalam ucapannya, Dr Zambry berkata generasi muda perlu menghayati dan membaca semula sejarah perjalanan penubuhan Malaysia.
Ini, menurut beliau, bagi memastikan mereka menyemai jati diri yang kuat sekali gus tidak mudah terhasut dengan anasir-anasir luar.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman