Skip to main content
HomeViral

Khir Toyo Dihukum 12 Bulan Penjara dan Hartanah Dilucut Hak

By 29 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

PUTRAJAYA, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Hukuman penjara selama 12 bulan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan ke atas Mohamad Khir Toyo yang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Bekas Menteri Besar Selangor itu didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50, hartanah tersebut yang bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Keputusan terhadap Mohamad Khir itu dicapai secara sebulat suara hari ini oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang  diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bersama-sama Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah turut menolak cadangan peguambela Mohamad Khir agar hukuman penjara digantikan dengan program khidmat masyarakat rawatan pergigian percuma selama dua tahun.

Mohamad Khir diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani mewakili pihak pendakwa raya.

Mohamad Khir kini ditempatkan di penjara Kajang.

 

Tinggalkan komen anda