Skip to main content
HomeViral

ASEAN Perlu Teliti Jenayah Rentas Sempadan – Zahid

By 29 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak ASEAN meneliti kembali kadar jenayah rentas sempadan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata cadangan kerajaan dalam menangani jenayah itu harus disokong dan dipersetujui 10 anggota ASEAN.

“Deklarasi itu antara lain menumpukan isu yang harus dipandang berat para Menteri, seperti kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan, termasuk mencari formula baharu bagi Pelan Tindakan ASEAN bagi Memerangi Jenayah Rentas Sempadan sejak kali terakhir ia dirangka pada 2002,” katanya ketika berucap di Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN di Kuala Lumpur.

 

20150929014146 (2)

 

“Semua negara anggota ASEAN menandatangani Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC), jadi ia memerlukan kesediaan di pihak kita untuk menyiapkan diri menghadapi perubahan yang berlaku di masa hadapan membabitkan kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan.”

Ahmad Zahid turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap isu itu yang dilihat kian meruncing di negara  ini.

“Jenayah rentas sempadan adalah satu fenomena yang pada dasarnya melibatkan pergerakan manusia merentasi sempadan, transaksi kewangan rentas sempadan termasuk pembabitan sindiket jenayah antarabangsa.

“Ia memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat sehinggakan usaha menangani jenayah terancang dan rentas sempadan adalah kebimbangan utama dalam keselamatan pada abad ke-21,” katanya lagi.

 

20150929014146 (1)

 

Beliau turut memaklumkan ASEAN telah memainkan peranannya dalam menangani isu itu sejak awal 70an.

Usaha mereka dilihat menjadi faktor penting dalam mencapai objektif Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

“Kewujudan Komuniti ASEAN akhir tahun ini memerlukan kita menjadi lebih berdaya tahan, bersedia sepenuhnya, mengambil pendekatan menyeluruh serta langkah komprehensif.

“Ia menggunakan kemajuan teknologi untuk menangani ancaman jenayah rentas sempadan sedia ada, secara lebih berkesan.”

Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai jenayah rentas sempadan AMMTC Ke-10 yang bermula semalam dijangka menerima pakai dua deklarasi Kuala Lumpur.

Deklarasi berkenaan ialah deklarasi Kuala Lumpur mengenai jenayah rentas sempadan, dan deklarasi pergerakan orang tidak teratur di Asia Tenggara.

 

Tinggalkan komen anda