
OLEH : Pradeeb Kumar Velayutham
KUCHING, 10 September 2015 (MalaysiaAktif) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kapal kargo MV Sah Lian yang dipercayai hilang di perairan Tanjung Lobang, Miri, Sarawak, semalam.
Komandernya, ACP Kalai Chelvan Nadarajan memaklumkan kapten kapal telah menghubungi sebuah bot berdekatan dan memaklumkan kapal berkenaan mengalami kerosakan dan hanyut.
“Kita difahamkan seramai 13 anak kapal, termasuk kapten masing-masing dari Myanmar, India, Indonesia dan warga tempatan berada dalam kapal tersebut.
“Sebanyak dua buah bot PA49 Bintulu dan PA2 Sarikei, selain bot ronda PA2 dan PA17 di kawasan Tanjung Sirik dikerahkan bagi tujuan SAR sejurus menerima maklumat,” katanya lagi.
Tambah beliau kargo yang membawa 500 tan muatan pelbagai jenis barang dari Kuching ke Limbang yang berlepas dari Pelabuhan Kuching pada Rabu lepas dan dijangka tiba di Pelabuhan Limbang Sabtu lalu.
Kedudukan terakhir kapal dikesan di 28 batu nautika dari Tanjung Lobang dan 23 batu nautika dari Kuala Baram pada pukul 5.00 petang semalam.