Skip to main content
EkonomiHomeViral

Perpaduan Nasional Bermakna Tanpa Rakyat Terpinggir – Najib

By 16 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 16 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata perpaduan nasional di negara ini hanya akan benar-benar bermakna jika tiada rakyat yang terpinggir.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan perlu menggunakan pendekatan keterangkuman dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan memastikan hasil kejayaan dikongsi secara meluas.

“Seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), kerajaan persekutuan komited dalam memastikan setiap orang, tanpa mengira jantina, etnik, status sosio-ekonomi dan lokasi geografi, boleh hidup dalam masyarakat yang benar-benar harmoni dan progresif yang menjadi tanda aras sebuah negara inklusif dengan ekonomi maju.

“Sebab itu kenapa kerajaan memberi tumpuan dan akan terus memberi penekanan, terhadap betapa pentingnya pembangunan di Sabah. Sejak pewujudan Koridor Pembangunan Sabah pada 2008, RM127 bilion dalam bentuk pelaburan komited telah dijana; dan saya pasti ini hanya permulaan bagi Sabah untuk terus maju dan memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Integrasi Nasional anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda