Skip to main content
HomeViral

Rais Yatim: Peristiwa Di Jalan Petaling Semalam Tidak Molek

By 17 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 17 September (Malaysiaaktif) – Tan Sri Rais Yatim  berpendapat Himpunan Melayu Bersatu yang berlangsung di sekitar Jalan Petaling dan Padang Merbok semalam adalah tidak molek.

Menurut beliau, semangat sebenar tidak seharusnya timbul dengan cara semalam dan kalau itu dijadikan petanda, memang tidak wajar dibuat lagi.

Beliau berpendapat, seelok-eloknya, jika ingin berhimpun besar begitu, elok diubah kepada peserta daripada masyarakat majmuk dan tidaklah Melayu sahaja.

Jika Melayu sahaja, himpunan ibarat berkonotasikan politik dan sebanyak sedikit mengguris perasaan sesetengah pihak.

Tambah beliau, peristiwa di Jalan Petaling tidak molek jika dilihat menerusi media sosial dan tidak seharusnya melampaui tahap yang tidak menguntungkan.

Bagaimana pun, beliau berkata, jika orang Melayu berkumpul hebat untuk kebudayaan dan bahasa, itu tidak wajar dilarang.

Beliau yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, berpendapat isu tersebut cukup membimbangkan kerana menyentuh sentimen perkauman.

“Saya merasakan peristiwa seperti itu tidak seharusnya kita ulang. Soalan saya ialah apa untungnya? Apa positifnya? Bagaimana peranan PDRM, berkesan atau tidak? Bandingkan dengan Akta Perhimpunan Awam, berjaya atau tidak?

“Jangan nanti akta itu menjadi telapak pertuduhan yang akan mengatakan bahawa PDRM tidak dapat melaksanakan tuntutan di bawah akta tersebut, “katanya.

Rais menegaskan bahawa perkara yang menunjukkan kuasa, kekerasan dan kegarangan elok dijauhi sebab soal perkauman di Malaysia sangat sensitif dan kita harus hormat antara satu sama lain.

Beliau berkata, apabila pihak ‘si kuning’ telah membuat masalah, ia perlu dibetulkan  melalui tindakan undang-undang.

“Yang semalam, siapa yang mengambil tindakan di luar undang-undang juga terus perlu menghadapi muziknya, mereka ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja,” kata beliau lagi ketika ditemui setelah menyempurnakan Majlis Penghargaan Penulisan Bahasa Kebangsaan Penulis Tionghua di Menara Dewan Bahasa pagi tadi.

 

Tinggalkan komen anda