Skip to main content
HomeViral

Hari Malaysia Disambut Meriah, Penuh Warna Warni

By 17 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 17 Sept  — Sambutan ulang tahun Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini Rabu malam berlangsung penuh meriah, berwarna warni dan dengan semangat patriotik apabila 50,000 rakyat pelbagai kaum hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.

Lautan manusia yang rata-ratanya berbaju merah mula membanjiri lokasi sambutan sejak pukul 5 petang dan dihiburkan dengan acara prapersembahan termasuk daripada artis tempatan serta kumpulan Koir Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia diiringi Kombo Jabatan Penyiaran Sabah, sementara menunggu ketibaan tetamu kenamaan.

Mereka datang awal, termasuk ada yang membawa anak-anak kecil begitu ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya ketika lagu-lagu patriotik didendangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin tiba di Padang Merdeka pada 8.06 malam.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang juga wakil Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Acara sambutan dimulakan tepat 8.19 malam sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti lagu negeri Sabah Tanahairku serta tarian kebudayaan pelbagai kaum etnik di Malaysia.

Majlis sambutan diteruskan dengan acara bertafakur selama seminit bagi menghormati sambutan Hari Malaysia, sebelum Musa dijemput untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Perdana menteri kemudian menyampaikan ucapan Hari Malaysia dan diikuti acara menandatangan Buku Catatan sempena Hari Malaysia 2015.

Acara itu turut disertai Musa dan Mohamad Asfia sambil disaksikan oleh Juhar.

Sambutan Hari Malaysia turut dimeriahkan dengan acara memotong kek oleh Juhar bersama Najib. Kek Hari Malaysia itu dibawa masuk oleh 16 kanak-kanak yang lahir pada 16 Sept.

Pada sambutan itu, Pengarah Penerangan Sabah Datuk Almain Ajirul turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri sebelum dipasang ke tiang bendera dan dinaikkan sekumpulan pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia.

Acara rasmi diteruskan dengan penglibatan 1,000 pelajar sekolah yang mempersembahkan acara kebudayaan, tarian dan nyanyian yang terbahagi kepada lima segmen utama merangkumi Segmen Pembentukan Sejarah Malaysia, Segmen Perpaduan Etnik, Segmen Hidup Masa Kini, Segmen Generasi Y dan Segmen menampilkan artis jemputan.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Dayang Nurfaizah, Ella, Stacy, Adira dan Firman.

Acara kemuncak hampir empat jam itu berakhir dengan pertunjukan bunga api selama lima minit.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda