Skip to main content
EkonomiHomeViral

Arul Kanda Sedia Berdebat Dengan Pua Di TV Tanpa Syarat

By 31 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt — Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata beliau bersedia bersemuka dengan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa sebarang syarat.

Beliau berharap ia akan akan diadakan secepat mungkin.

“Saya dengan ini menarik balik syarat saya (sebelum ini). Saya akan berjumpa Tony Pua dalam debat atau bual bicara secara langsung di TV tanpa syarat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khamis lepas, Arul Kanda dalam satu kenyataan berkata beliau bersedia berdebat dengan Pua secara langsung di televisyen dengan syarat anggota Parlimen daripada DAP itu meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Arul Kanda berkata demikian bagi menyahut cabaran Pua melalui blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan bual bicara secara langsung, dengan Pua menjadi pihak yang mengemukakan soalan.

Katanya beliau sebelum ini meletakkan syarat itu kerana Pua ialah anggota PAC, dan ia bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan kerana PAC juga menyiasat isu 1MDB.

“Beliau (Pua) berpendapat soalan yang sukar atau rumit tidak ditujukan kepada 1MDB. Jadi Tony Pua telah menyatakan beliau mahu bertanyakan soalan kepada saya mengenai perkara tersebut.

“Saya telah menerima cabaran YB Tony Pua secara terbuka tetapi dengan satu syarat, YB Tony Pua adalah ahli kepada PAC. PAC sedang menjalankan penyiasatan terhadap 1MDB. Maknanya dia sebagai hakim, beliau akan menghakimi 1MDB dalam keterangan dan jawapan yang pihak kami akan berikan kepada PAC,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada RTM atas tawaran stesen televisyen itu untuk menyiarkan secara langsung debat itu.

Arul Kanda yang menerajui 1MDB sejak Januari tahun ini turut menegaskan tiada suatu pun perkara berkaitan status kewangan syarikat itu telah disembunyikan disebalik pelbagai dakwaan dilemparkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata syarikat telah menjawab semua isu dibangkitkan menerusi temu bual dengan media tempatan dan antarabangsa serta menerusi kenyataan media dan menurutnya pada tahun ini sahaja, sebanyak 72 kenyataan media dikeluarkan syarikat untuk menjawab pengkritik.

Arul Kanda turut menyangkal dakwaan bahawa 1MDB bersikap memilih dalam memberikan jawapan dan temu bual dengan media.

“Sejak saya memegang jawatan ini, kita ada buat temu ramah TV, bukan sahaja akhbar tempatan, malah akhbar antarabangsa. Adalah tidak tepat mengatakan yang 1MDB hanya beri jawapan kepada soalan mudah dan kepada media massa (tertentu) sahaja,

“Baru-baru ini saya juga telah berjumpa dengan MCA, sebelum ini dengan UMNO (untuk memberi penerangan). MIC belum jemput saya lagi. Saya secara terbuka menjawab soalan (berkaitan 1MDB),” katanya.

Dalam sidang media kira-kira 90 minit yang dihadiri kira-kira 80 wartawan tempatan dan asing itu, Arul Kanda turut memberi penjelasan berhubung pelan rasionalisasi hutang syarikat dan perkembangan terkini langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan hutang syarikat, serta sejarah syarikat.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda