Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Pertikai Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah Boleh Pecahkan Ummah

By 30 Oktober 2015November 1st, 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Malini Md Yunos (Port Dickson)

PORT DICKSON, 30 Okt (Malaysiaaktif) — Lebih 300 orang menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1437 Peringkat Daerah Port Dickson di Masjid Qariah Kampung Sawah Chuah di sini Jumaat lepas.

Majlis bermula dengan solat Maghrib dan diikuti dengan ceramah agama oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Haji Mohamad Yusof Ahmad.

Mohamad Yusof menekankan betapa pentingnya memelihara perpaduan ummah kerana masyarakat sekarang berdepan dengan tekanan dan cubaan memecahbelahkan kesatuan umat Islam.

Menurut beliau golongan ‘bijak pandai’ berbekalkan PhD, Master dan ijazah secara terbuka mempertikaikan amalan ahli sunnah wal jamaah, seperti salawat, berwirid selepas solat, tahlil dan membaca yassin.

Mereka menganggap amalan-amalan tersebut sebagai bidaah, sedangkan hakikatnya amalan berkenaan tidak langsung terpesong atau pun bercanggah dengan Al-Quran dan hadith.

Beliau berkata perpecahan dalam masyarakat, seperti yang berlaku di Iraq dan Syria perlu dijadikan peringatan kerana sekiranya umat berpecah, Islam akan menjadi semakin lemah.

Dalam majlis yang sama 10 anugerah khas disampaikan kepada guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) lelaki dan wanita, jawatankuasa masjid kategori pengerusi, setiausaha dan bendahari, anugerah bekas pegawai masjid, imam, surau terbaik dan anugerah khas Tokoh Maal Hijrah Daerah Port Dickson.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Haji Mobarak Dohak mengingatkan semua ahli masyarakat menjadikan Maal Hijrah sebagai tonggak untuk terus mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan ummah.

Beliau berharap masyarakat mementingkan kesepaduan serta sentiasa memanjatkan doa supaya Malaysia terhindar daripada perpecahan.

Hadirin dalam majlis ini terdiri daripada ketua-ketua jabatan, nazir masjid, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ahli qariah.

Majlis diakhiri dengan solat isyak berjemaah dan jamuan makan malam.

 

Tinggalkan komen anda