
Oleh Dila Khamde
BANGI, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Persidangan Antarabangsa Dwitahun Media dan Komunikasi (MENTION 2015) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia sedang berlangsung selama dua hari bermula 5 hingga 6 Oktober 2015.
Bertemakan “GLobalisasi Media, dan Transformasi Negara: Realiti, Cabaran dan Aspirasi”, persidangan ini bermatlamat sebagai platform perdebatan mengenai pelbagai isu dalam kajian media dan komunikasi, membahas tema-tema persidangan media dan komunikasi yang sedang berlangsung di peringkat tempatan dan antarabangsa, serta mengenal pasti laluan bagi kemajuan masa depan dalam bidang kajian media dan komunikasi.
“Penyediaan platform yang sesuai dan penglibatan secara bersama adalah penting bagi tujuan membetulkan, serta membina reputasi dalam sesuatu perkara, khususnya dasar-dasar kerajaan,” Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian MENTION 2015 di RHR Hotel, UNITEN Bangi Selangor pagi tadi.
Tambah beliau, “Seminar ini bertepatan dalam keperluan semasa untuk membincangkan dengan terperinci pengisian yang releven bagi keperluan masyarakat terutama dalam aspek positif dalam kehidupan dan pembinaan kenegaraan yang boleh dijadikan sebagai pemangkin pencapaian matlamat dan misi negara”
Pesidangan ini juga bertujuan untuk menggalakkan dan mempromosikan perkongsian penemuan kajian ilmiah dikalangan sarjana media dan komunikasi, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa khususnya serta meningkatkan jalinan rangkaian antara sarjana media dan komunikasi.
Beliau berharap melalui kertas-kertas yang akan dibentangkan dapat melahirkan perkara dan pemikiran yang baharu dalam berkomunikasi bersama rakyat serta menyumbangkan kepada negara yang maju.
Kira-kira 300 peserta yang hadir dalam majlis perasmian tersebut.
Turut hadir, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).