Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

HKHM 2026: Tetap Meriah Walau Dalam Fasa Penjimatan

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/JAPEN

IPOH, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 akan disemarakkan menerusi pelbagai pengisian bagi membentuk semangat cintakan negara.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata walaupun sambutan pada tahun ini diadakan secara sederhana, namun semangat patriotisme dan penghayatan terhadap erti kemerdekaan tetap menjadi keutamaan.

“Antaranya ialah pelaksanaan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang diteruskan sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta membawa mesej perpaduan dan cinta akan negara lebih dekat kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air.

“Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang juga akan terus dipergiat bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kebanggaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini hari ini.

Menurut Fahmi, tema sambutan pada tahun ini ‘Malaysia MADANI Kesejahteraan Dinikmati’  mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan kemajuan, kemakmuran dan hasil pembangunan negara dinikmati secara adil, saksama dan inklusif oleh seluruh rakyat.

“Kesejahteraan yang dibina bukan sekadar diukur melalui pencapaian ekonomi, malah diterjemah menerusi peningkatan kualiti hidup, peluang yang lebih saksama serta pengagihan manfaat pembangunan yang menyeluruh.

“Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada seorang pun tercicir dari arus pembangunan, tanpa mengira kaum, agama, wilayah mahupun latar belakang, demi membina Malaysia yang lebih makmur, bersatu padu dan sejahtera,” katannya.

MPBKKJG 2026 merupakan pembuka tirai sambutan HKHM yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos (Hari Kebangsaan) dan di Sarawak pada 16 September (Hari Malaysia) nanti.

-FN

Tinggalkan komen anda