Skip to main content
EkonomiRencana & Pendapat

TTPA, Kepentingan Nasional Dilindungi

By 12 Oktober 2015Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah antara isu kontroversi yang diberi perhatian serius oleh kerajaan. Pembangkang turut menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka untuk mempertikai sebarang tindakan atau keputusan yang diambil kerajaan berkaitan dengan perjanjian TTPA.  Sejak awal lagi, banyak tuduhan tidak berasaskan dilemparkan oleh pihak tertentu bahawa kemerdekaan dan kedaulatan negara akan tergadai jika kerajaan mengambil keputusan memeterai perjanjian TPPA. Sebenarnya, sejak awal lagi sedia mendengar sebarang  maklum balas membina yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk dipertimbangkan dalam urusan rundingan berkaitan TTPA. Sejak awal perundingan lagi kerajaan mengambil perkara berkaitan kepentingan nasional supaya kemerdekaan dan kedaulatan negara terus dipertahankan.

Kini, selepas beberapa tahun rundingan TPPA dijalankan, kerajaan perlu  membuat keputusan muktamad dan ianya bukan satu perkara yang mudah kerana semua aspek perlindungan termasuk pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan agenda Bumiputera perlu diteliti dengan serius.  Malaysia tidak akan memeterai Perjanjian TPPA ini sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada negara, apatah lagi sekiranya syarat-syarat perjanjian itu boleh mengancam kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed,  setiap anggota TPPA perlu melalui proses domestiknya sendiri sebelum membuat keputusan akhir untuk memeterai dan mengesahkan perjanjian itu. Kenyataan MITI menyebut bahawa walaupun Rundingan Perjanjian TPPA telah dimuktamadkan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini tetapi ia dijangka tidak berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurut Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, teks perjanjian yang dipersetujui masih mempunyai beberapa peringkat sebelum pengesahan, termasuk paparan awam, pembentangan di Parlimen dan analisis manfaat kos. Hakikatnya, sebelum membuat keputusan melaksanakannya, kerajaan akan memastikan perlembagaan, kedaulatan, dasar teras negara dan kepentingan masyarakat Bumiputera dilindungi dan dipertahankan.

Kerajaan tidak mahu TPPA menjadi penghalang untuk kerajaan meneruskan dan mengawal selia objektif dasar awam termasuk hal-hal berkaitan keselamatan negara, kesihatan awam,  kebajikan rakyat dan lain-lain kepentingan awam. Dalam konteks pemerolehan kerajaan, kerajaan akan melindungi keutamaan Bumiputera dengan memastikan keutamaan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera dikekalkan.

Justeru, dalam setiap perundingan TTPA yang diadakan, kerajaan terus berusaha menangani kebimbangan para pelabur mengenai beberapa perlindungan awam yang menjadi polisi di negara ini supaya difahami oleh mereka secara jelas. Dalam konteks kawalan modal pula, Malaysia akan tetap mempertahankan haknya untuk memastikan terdapat ruang dasar mencukupi bagi mengurangi sebarang kesan negatif aliran modal dan memelihara kestabilan kewangan dan makroekonomi.

Mengenai kemungkinan berlakunya sebarang pertikaian, Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme Penyelesaian Pertikaian Negara Pelabur (ISDS). Negara mempunyai sekurang-kurangnya pengalaman dalam 74 perjanjian pelaburan dua hala dan lapan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mengandungi peruntukan ISDS.

Contohnya, klausa perlindungan paten ubat-ubatan dalam TPPA tidak berbeza daripada peraturan Malaysia sekarang. Justeru, kebimbangan bahawa harga ubat-ubatan akan meningkat tinggi sekiranya perjanjian TTPA ditandatangani tidak sepatutnya ditimbulkan. Memang rakyat berhak merasa bimbang dalam perkara seperti ini. Namun, rakyat perlu yakin dengan ketelusan kerajaan dalam isu TTPA ini. Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan merahsiakan rundingan yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Harus difahami bahawa  dalam rundingan antarabangsa, teks rundingan biasanya tidak dikeluarkan kepada orang awam. Namun, semua isu yang dirundingkan dibincangkan secara terbuka. Hakikatnya, kerajaan tetap mengambil pendirian tegas dalam soal TPPA dan dalam masa  yang sama rakyat perlu  berfikiran terbuka, terutama dalam melihat manfaat TTPA kepada negara.

Perjanjian perdagangan terbesar dunia itu melibatkan 11 negara lain iaitu Jepun, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Kanada, Brunei Darussalam, Singapura, Vietnam, Mexico, Chile dan  Peru. Justeru, antara manfaat besar diperoleh dari pelaksanaan TPPA ialah ia akan merangsang dan  meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Singapura. Negara juga akan mendapat akses yang lebih baik ke pasaran di Mexico, Chile dan Peru.

Yang jelas, TPPA berupaya meningkatkan eksport negara, meningkatkan aliran modal, meningkatkan produktiviti  serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Apa pun, rakyat perlu yakin dengan ketelusan kerajaan dalam isu TTPA ini. Dokumen akhir bersama analisis kos-dan manfaat akan dibentangkan kepada Parlimen dan umum bila tiba masanya nanti.

Sebenarnya, kerajaan tidak perlu mendapatkan kelulusan Parlimen untuk menandatangani Perjanjian TPPA tetapi disebabkan ia berkepentingan nasional dan rakyat serta menjadi isu yang kontroversi maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan membawa isu ini ke Parlimen untuk dibahaskan dan  pengundian sama ada bersetuju atau menolak perjanjian itu akan dibuat oleh ahli-ahli parlimen, sekali gus ia juga adalah keputusan rakyat. Kita yakin bahawa kerajaan telus dalam hal ini dan rakyat akan mendapat akses kepada teks penuh sekiranya satu persetujuan dicapai kelak.

 

________________________________________________________________

Artikel ini adalah cetusan penulis sendiri dan bukan mencerminkan dasar Malaysiaaktif

 

Tinggalkan komen anda