Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Membudayakan Semangat Ithar dan Altruisme

By 8 Disember 2023Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Rahman Ishak

Altruisme berdasarkan Kamus Dewan Perdana membawa maksud pandangan hidup atau amalan yang mengutamakan kebajikan atau kebahagiaan orang lain lebih daripada diri sendiri yang menyarankan bahawa sesuatu itu dilakukan untuk kebaikan semua dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam Islam, ia disebut sebagai ithar yang membawa maksud melebihkan orang lain berbanding diri sendiri dan merupakan salah satu amalan mulia yang sangat berat untuk dilakukan namun mempunyai kelebihan dan nilainya sendiri di sisi Allah SWT.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ithar bermaksud mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain yang bermaksud mendahulukan hajat orang lain melebihi dirinya sendiri dan sifat ini termasuk akhlak mulia yang akan mendatangkan kecintaan Allah SWT dan kecintaan manusia.

Mungkin kita pernah mendengar mengenai kisah tiga orang sahabat Rasulullah SAW yang masing-masing berasa dahaga dan meminta air untuk menghilangkan kehausan kerana kecederaan ketika perang Yarmuk.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mush’ab Az-Zubaidi bahawa kecederaan yang dialami Al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr sangat parah dan masing-masing sedang nazak.

Sahabat pertama Ikrimah bin Abu Jahal yang meminta air apabila diberikan kepadanya air telah mendengar Suhail bin Amr meminta air dan mengadu haus, lalu dia menyuruh agar air tersebut diberikan terlebih dahulu kepada sahabatnya.

Tetapi, apabila air tersebut sampai kepada Suhail, dia terdengar pula al-Harits yang sedang kehausan, lalu Suhail menyuruh agar air tersebut diberikan kepada al-Harits terlebih dahulu.

Apabila menyedari Ikrimah yang sedang melihat ke arahnya, lalu al-Hariths menyuruh agar diberikan air tersebut kepada Ikrimah.

Namun, belum sempat air tersebut sampai kepada Ikrimah, ternyata ketiga-tiga mereka telah menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat menghilangkan haus mereka (HR Ibnu Sa’ad dalam ath Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr).

Kisah ini memberikan pelajaran yang sangat berharga kepada kita tentang sifat ithar di mana umat Islam dituntut agar mengambil peduli terhadap kebajikan orang lain tanpa mengira sama ada mereka mempunyai hubungan kekeluargaan ataupun tidak.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Surah al-Ma’idah: 2).

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” (Surah al-Ma’idah: 2).

Situasi semasa berkaitan kekejaman rejim zionis Israel yang mencabar tatanan dunia dengan membobrokkan hospital dan rumah rakyat Palestin sangat menuntut seluruh rakyat Malaysia mengutamakan sikap ithar.

Justeru kita seharusnya terus bertiwikrama mendesak gencatan senjata untuk mengelakkan bencana kemanusiaan lebih teruk serta mencegah konflik Palestin-Israel daripada merebak.

Perbuatan ithar merupakan perkara yang baik dan mulia berdasarkan firman Allah SWT yang memuji golongan Ansar yang melebihkan golongan Muhajirin berbanding diri mereka.

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Hasyr: 9)

Sikap altruisme atau ithar boleh diamalkan dalam banyak perkara seperti menyerahkan tempat duduk kepada yang lebih memerlukan, mendahulukan pejalan kaki melintas di jalan raya, membersihkan meja selepas makan di premis-premis makanan, membuka dan memegang pintu untuk orang lain, membiarkan seseorang mendahului ketika berbaris, mengutip sampah di tempat-tempat awam dan sebagainya.

Apabila ithar menjadi amalan, akan wujud suasana harmoni dan bertolak ansur mendahulukan orang lain yang akhirnya membawa kepada sikap bertimbang rasa, menghormati, tolong-menolong, bersimpati, pemurah dan berkasih sayang.

Bersikap ithar atau altruisme sebenarnya merupakan salah satu tuntutan maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menunaikannya. Mudah-mudahan sikap ini dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.

Tinggalkan komen anda