
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 19 Nov (Malaysiaaktif) – Gerakan pro-pembangkang Jingga 13 Malaysia petang tadi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) agar siasatan menyeluruh dijalankan ke atas penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM).
Gerakan pro-pembangkang itu mendakwa sejumlah RM 223,000.00 dana YaPIEM digunakan oleh seorang pemimpin politik semasa Pilihanraya Kecil (PRK) Rompin. Mereka mendakwa ini berpandukan minit Mesyuarat Pemegang Amanah YaPEIM pada 24 April bahawa wang tersebut disalurkan kepada Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Siti Jeliha @ Zaleha Hussin dari 27 April hingga 2 Mei berkaitan penganjuran Program Usrah dan Ziarah Daerah Rompin, Pahang.
Mereka juga menimbulkan beberapa persoalan berhubung pengunaan jumlah tersebut dan memohon pihak SPRM meneliti isu berkenaan dengan segera. Pengerusi Jingga 13 Malaysia, Mohd Fariz Musa memohon agar SPRM mengambil tindakan secara professional dan telus terhadap laporan mereka serta mengambil tindakan undang-undang bersabit isu ini.
Gesaan dinyatakan oleh Mohd Fariz semasa sidang media di luar pintu masuk ibu pejabat SPRM Putrajaya sebelum membuat laporan.
Laporan tersebut dibuat seiring tindakan pembangkang yang terus mengasak walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah membuat penafian tentang isu berkenaan.