
Oleh Mohd Faizal Mat Akhir (Butterworth)
BUTTERWORTH, 26 Nov (Malaysiaaktif) — Komuniti 1Malaysia (K1M) Raja Uda mengambil inisiatif mengumpul dana sumbangan sebanyak RM6,650 bagi membantu sebuah keluarga miskin di Flat Bagan Dalam di sini.
Menurut Pengerusi Komuniti 1Malaysia Raja Uda, David Chua Teik Siang, beliau mendapat maklumat daripada penduduk setempat bahawa terdapat sebuah keluarga miskin yang sangat memerlukan bantuan kerana kehilangan punca pendapatan akibat suaminya yang ditangkap kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah beberapa bulan lalu.
Nornabila Abdullah, 36 tahun, yang mempunyai dua orang anak berusia 4 dan 8 tahun terlalu daif hinggakan terpaksa memberi anaknya minum susu pekat manis yang dicampur dengai air biasa.
Ujar beliau lagi, Nornabila menyewa bilik di flat itu dan hanya mengemis untuk menyara kehidupan seharian selain terpaksa menampung seorang anak yang masih bersekolah.
Menurutnya lagi dana yang dikumpul daripada sumbangan ahli-ahli K1M dan pihak lain melalui media sosial itu dimasukkan ke dalam akaun Nornabila sementara bantuan bekalan makanan turut disampaikan.