Skip to main content
HomeViral

Kes Sudah Lama, Kenapa Baru Timbul? – Rahman Dahlan

By 26 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan dakwaan dalang pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais  oleh adiknya, Charles Suresh Morais sebagai  wayang dengan penyediaan skrip dan lakonan yang teruk.

Beliau melahirkan rasa hairan terhadap kes tersebut yang dilihat sengaja ditimbulkan berikutan Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada bulan depan.

“Satu lagi wayang dengan skrip dan pelakon yang teruk.

“Dakwaan penyiasatan pembunuhan Charles Morais yang berlaku lama dahulu telah ditimbulkan sejurus sebelum PAU. Masa yang baik!” sindirnya menerusi Twitter rasminya hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga membidas dakwaan kononnya pihak tertentu memilik kertas pendakwaan yang  juga telah disahkan pihak berkuasa bahawa ia tidak wujud.

“Menurut SPRM, kertas pendakwaan itu tidak ditemui. Semua orang kecuali Charles tahu siasatan SRC (International Sdn Bhd) masih dijalankan. Bagaimana boleh ada kertas pendakwaan?” soalnya.

Sebelum ini, Charles Suresh mendakwa bahawa beliau memiliki pemacu pena (pen drive) yang mengandungi maklumat rahsia berhubung satu kes yang sebelum ini dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.

Beliau yang menandatangani akuan sumpah berkanun pada Rabu itu berkata, dia percaya bahawa abangnya yang dipinjamkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dibunuh kerana kes yang sedang dijalankan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula menasihatkan adik mangsa itu untuk membuat laporan polis mengenai dakwaan abangnya itu yang dikatakan  terlibat dalam penyiasatan bersama seorang pegawai berpengaruh yang turut menyebabkan beliau dibunuh.

 

Tinggalkan komen anda