
Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
BUKIT SELAMBAU, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Hujan lebat dan ribut yang melanda kawasan ini tengah malam kelmarin menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga menghempap dua rumah di Kampong Sekawan, di sini.
Tindakan pantas empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Kuala Muda berjaya menyelamatkan dua buah rumah milik Mong Kun A/L Ai Pouw dan Epom A/P Pian.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Leftenan Muda (PA) Azahar Ahmad berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.25 pagi daripada Pegawai Khas Ahli Parlimen Merbok, Haroon Mat, seramai empat anggota diketuai oleh Sarjan (PA) Hasrul Mohd Heary Halim bersama satu jentera operasi JPAM bergerak ke lokasi kejadian dan berjaya membuat pemotongan dan pembersihan di sekitar rumah yang dihempap pokok.
Menurut Mong Kun ini kali pertama rumahnya dihempap pokok durian dan mujur tiada kejadian buruk berlaku, selain kerosakan atap di bahagian ruang tamu,” katanya kepada Malaysiaaktif.
Manakala, Epom berkata, rumahnya hanya mengalami kerosakan atap di ruangan dapur.
Dalam pada itu, Azhar turut meminta orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa ketika berhadapan dengan situasi sedemikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.