Skip to main content
Berita TempatanHomePerlis

Aduan Awam Menerusi Aplikasi Telegram Di Perlis

By 10 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh  Wan Muhamad Zikri Wan Kamis (Kangar)

KANGAR, 10 Nov (Malaysiaaktif) — Pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang bercambah sekarang ini tiada alasan boleh diterima jika dikatakan payah untuk menyampaikan sesuatu aduan kepada pihak-pihak tertentu.

Sehubungan itu, teknologi terkini yang hampir sentiasa berada di hujung jari, seperti aplikasi ‘Telegram’ kini diguna pakai di negeri Perlis bagi menyalurkan maklumat berkaitan aduan awam dan isu setempat.

Aplikasi ini bukan sahaja digunakan oleh rakyat, tetapi juga oleh pemimpin masyarakat, ketua jabatan, wakil rakyat , termasuk Menteri Besar sendiri bagi melengkapkan kaedah berkenaan.

Penghulu Kerajaan Negeri, Ahmad Razin Haji Yob yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh di sini, mencetuskan idea untuk mewujudkan Grup Telegram Aduan Awam@Perlis.

Grup tersebut kini mempunyai seramai 200 ahli yang menyampaikan pelbagai maklumat tentang isu-isu seharian di negeri Perlis bagi membantu usaha menjaga keselamatan dan ketenteraman penduduk.

Menurut Pak Teh, sebelum ini rakyat mengalami kesukaran untuk membuat aduan kepada pihak berkenaan kerana kesukaran mengenal pasti yang mana satu saluran yang patut digunakan.

Beliau memberitahu wartawan Malaysiaaktif bahawa melalui grup Telegram ini penduduk mendapati lebih mudah untuk membuat aduan.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berharap kemunculan grup Telegram ini tidak disalahgunakan kerana ia merupakan saluran penting untuk menghantar dan menerima aduan berkaitan pelbagai perkhidmatan jabatan serta agensi kerajaan.

Keberkesanan penggunaan aplikasi ini terbukti memandangkan bukan sahaja jabatan kerajaan yang pantas menerima aduan rakyat, malahan ia juga digunakan oleh Menteri Besar yang turut menjawab sendiri tentang pelbagai isu.

Setakat ini, secara purata dia antara 10 hingga 15 aduan diterima setiap hari melalui Grup Telegram Aduan Awam@Perlis.

Aplikasi ‘Telegram’ adalah percuma dan boleh dimuat turun melalui Play Store bagi pengguna telefon pintar Android atau melalui ‘iTunes’ bagi pengguna iOS (iPhone atau iPad.)

Untuk rekod aplikasi Telegram kini mencatat seramai lebih 800 juta pengguna dengan penyaluran lebih 2 bilion mesej setiap hari di seluruh dunia.

Idea aplikasi ‘Telegram’ dicetuskan oleh seorang anak muda warga Rusia, Pavel Duro,’ bagi menyaingi populariti awal aplikasi Whatsapp.

Tinggalkan komen anda