Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Program Gerbang Kerjaya Buka Peluang Kepada Rakyat Perlis

By 19 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Indera Putera & Wan Muhamad Zikri (Kangar)

KANGAR, 19 Nov (Malaysiaaktif) — Program Gerbang Kerjaya yang diadakan di sini semalam memberi peluang kepada rakyat Perlis untuk mendapatkan pekerjaan.

Program yang bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu disertai 25 syarikat  dan lima agensi kerajaan melalui temuduga terbuka di Dewan Warisan Kangar.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Perlis, Mohamed Yusof Ab. Hamid berkata, ini merupakan kali kelima program tersebut dianjurkan dan setiap kali diadakan , secara purata kira-kira 1,500 orang hadir untuk mendapatkan pekerjaan.

 

20151118_100855

Sebanyak 600 kekosongan pekerjaan ditawarkan.

 

Menurut beliau, sebanyak 600 jawatan kosong disediakan untuk lepasan siswazah dan bukan siswazah, manakala jawatan kosong di Pasaraya Giant paling banyak mendapat sambutan.

“Hanya dalam masa 30 minit, borang jawatan kosong syarikat GCH Retail yang mengendalikan Pasaraya Giant habis diedarkan kepada pengunjung.

“Sebanyak 100 kekosongan disediakan di Pasaraya Giant yang dijangka dibuka pada penghujung Januari 2016”, katanya ketika ditemuramah wartawan Malaysiaaktif .

Salah seorang pengunjung, Muhammad Jazli Izzat Jamil, 22 tahun, berkata, program seumpama ini amat baik bagi memberi peluang kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Beliau yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia lebih gemar hadir sendiri ke program seumpama ini, selain mengisi secara online di laman Web Jobs Malaysia.

Program ini anjuran bersama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perlis dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menerusi program Azam Kerja 1Malaysia.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara IKBN Kuala Perlis dengan industri turut diadakan membabitkan syarikat Langkawi Ferry Services Sdn. Bhd., Unic Symbol Business Sdn. Bhd. dan Ameqin Sepakat.

 

Tinggalkan komen anda