Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kami Sentiasa Bersedia: Jabatan Pertahanan Awam Negeri Kedah

By 31 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)

ALOR SETAR, 30 DIS (Malaysiaaktif) — Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah sentiasa bersiap sedia untuk menangani apa jua krisis, kecemasan dan bencana yang berlaku di negeri ini.

Pengarahnya, Lt. Kol. (PA), Pang Ah Lek, berkata, Kedah kini memiliki 40,000 anggota Sukarelawan Pertahanan Awam terlatih yang boleh dikerah pada bila-bila masa.

Katanya, “JPAM Kedah tidak menghadapi sebarang masalah, dengan kelengkapan logistik dan anggota yang ada dan kami sentiasa bersedia menghadapi apa jua bencana,termasuk banjir di negeri ini, katanya kepada Malaysiaaktif, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kecemasan Operasi Daerah (PKOD) yang beroperasi 24 jam di setiap daerah.

Selain itu, katanya, JPAM berperanan dalam operasi ’MERS 999’ (Malaysia Emergency Respon Service) melibatkan empat jabatan lain, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bagi memastikan tindak balas semasa menghadapi sesuatu situasi bencana dapat ditangani dengan kadar segera, JPAM Kedah telah pun menubuhkan Pasukan Tindak balas Kecemasan Komuniti (CERT/CDERT-C) yang terdiri daripada penduduk setempat di kampung atau taman perumahan di Kedah. Setakat ini sebanyak 500 komuniti telah menyertai CERT/CDERT-C  dan diberi latihan.

Jelasnya, JPAM negeri akan menggunakan semua aset, seperti lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot pada bila-bila masa bagi tujuan menyelamat.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPAM, Mejar (PA), Raja Muhammad Alhakim Raja Jaafar @ Raja Yaakub, berkata, seramai 20 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, badan korporat dan wakil kerajaan negeri menerima pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu dan Kolonel Kehormat Bersekutu bagi memantapkan lagi organisasi pasukan CERT/CDERT-C.

 

Tinggalkan komen anda