Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomePahangViral

Punca Air Merah Belum Dikenal Pasti, Perlu Masa – Wan Junaidi

By 31 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pihaknya memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk mengesan punca sebenar berlakunya kejadian air pasang merah di Pantai Batu Hitam, Kuantan.

Beliau berkata tempoh tersebut akan digunakan pihaknya untuk membuat analisis terperinci terhadap bahan tercemar di Jabatan Kimia yang terletak di Petaling Jaya.

Wan Junaidi mendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut walaupun orang ramai mengaitkannya dengan pencemaran akibat perlombongan bauksit.

“Pemantauan terhadap kualiti air di kawasan yang dikenal pasti yang terjejas akibat kegiatan perlombongan bauksit masih dijalankan.

“JAS akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan agensi di peringkat negeri bagi menangani isu pencemaran disebabkan kegiatan bauksit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata Jabatan Geosains dan Mineral (JMG) Pahang dilaporkan akan membuat satu audit khas terhadap pematuhan peraturan perlombongan.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mendapat arahan untuk memantau tahap semasa  air sungai dan ketika banjir, manakala JAS akan terus mengambil sampel air dari stesen-stesen tertentu.

“Sesi pemeriksaan di lombong akan dikendalikan oleh JPS, JMG dan JAS negeri.

“Pemantauan akan diteruskan sehingga kualiti air menunjukkan perkembangan ke arah normal.”

Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan telah mengambil sampel airnya untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca fenomena tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak kepada media selepas beliau meninjau kejadian itu di jeti nelayan Sungai Balok semalam.

 

Tinggalkan komen anda